IPOH: Perak tidak rela tercicir daripada beraksi di pentas Asia hanya kerana kegagalan memenuhi syarat utama Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) iaitu diswastakan sepenuhnya menjelang musim 2021.
Setiausaha kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Mohamad Azlin Mohd. Nadzri optimis, mereka akan mencapai status FC (kelab) sebelum September dan sedang giat melengkapkan proses penswastaan.
“Pafa sudah memasuki langkah terakhir ke arah penswastaan dan ingin memastikan tidak menjejaskan peluang beraksi dalam kejohanan tahun hadapan serta menghadapi masalah dengan Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) mahupun FIFA,” katanya.
Azlin berkata, Pafa sudah mengenal pasti agensi yang terlibat dalam struktur pembentukan FC.
“Agensi atau konglomerat terlibat akan bertanggung jawab sepenuhnya terhadap kewangan.
“Kerajaan negeri tidak lagi terlibat secara langsung dengan penajaan kewangan,” katanya.
Menurut Setiausaha Pafa itu, tahun ini merupakan fasa penubuhan FC secara rasmi dan selepas itu baru fasa peralihan pengurusan dan tanggungjawab.
Azlin berkata, Pafa akan menjadi badan induk manakala FC itu nanti akan menjadi ahli gabungan.
“Oleh yang demikian FC akan mempunyai struktur pentadbiran dan pengurusan yang berlainan,” katanya.