LONDON : Phil Neville mengkritik percaturan pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solksjaer selepas pasukan itu tewas 1-3 kepada Chelsea di separuh akhir Piala FA, hari ini.
United yang memiliki rekod 19 perlawanan tanpa kalah sebelum ini bergelut sepanjang permainan dengan Olivier Giroud dan Mason Mount berjaya meletakkan The Blues di hadapan sebelum jaringan sendiri Harry Maguire memastikan Chelsea mara ke final Piala FA.
Neville yang juga bekas pengendali skuad wanita England percaya taktikal The Red Devils tidak menjadi selepas Chelsea mendominasi permainan itu.
“Saya rasa United tiada pemain di atas padang, hanya Fernandes bermain dengan baik.
“Ole memilih pemain dan sistem yang salah,” kata bekas bintang United itu
Penjaga gawang United, David de Gea menjadi bahan kritikan selepas melakukan banyak kesilapan termasuk yang membolehkan Mount menghasilkan jaringan kedua.
“De Gea tidak seperti pemain yang pernah menang anugerah.
“Jika saya menjadi Ole, saya pasti bimbang. Dia memiliki antara pemain terbaik dunia tetapi hilang keyakinan untuk beraksi,” kata Neville. – AGENSI