LONDON: Formula Satu (F1) mengumumkan tiga pusingan tambahan dalam kalendar 2020, namun mengesahkan Grand Prix (GP) di Brazil, Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico tidak akan mengambil bahagian tahun ini.
Nurburgring di Jerman dan Imola di Itali akan kembali semula dalam kalendar itu, manakala trek Portimao di Portugal bakal membuat kemunculan sulung di pentas F1 yang menyajikan 13 pusingan kali ini.
Nurburgring akan menerima kunjungan Lewis Hamilton dan semua pasukan F1 buat kali pertama sejak 2013 pada 13 Oktober, disusuli Portimao dua minggu kemudian.
Imola, litar di San Marino di mana tragedi meragut nyawa juara dunia tiga kali, Ayrton Senna berlaku pada 1994 menjadi pusingan terakhir 2020 dan berlangsung pada 1 November.
Susulan penularan wabak Covid-19 yang tidak terkawal di benua Amerika, bos F1 bersetuju empat litar melibatkan Sao Paolo, Austin, Mexico City dan Montreal tidak akan mengambil bahagian.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Chase Carey berkata, pihaknya gembira dapat mencari jalan penyelesaian ketika pandemik Covid-19 ‘menggila’ ke seluruh dunia, selain menyambut baik kedatangan tiga trek tambahan.
“Kami gembira dapat meneruskan saingan F1 dengan pelan baharu bagi musim 2020 dan kami juga teruja untuk menyambut kehadiran Nurburgring, Portimao dan Imola setelah kalendar disemak semula.
“Kami merakamkan terima kasih kepada penganjur, pasukan, FIA (Persekutuan Permotoran Antarabangsa) atas sokongan padu bagi menyemarakkan lagi saingan musim ini,” katanya. – AGENSI