JOHOR BAHRU: Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan tidak membayar gaji pemain adalah kegagalan besar bagi seorang pemimpin atau pemilik kelab bolasepak itu sendiri.
Tunku Ismail berkata, kebajikan para pemain adalah antara perkara terpenting buat pasukan Harimau Selatan itu sejak ia ditubuhkan pada 2013.
“Harimau Selatan tidak mempunyai sebarang isu berkaitan gaji atau bonus kepada para pemain, jurulatih dan kakitangan sejak 2013.
“Gagal membayar gaji adalah satu kegagalan besar sebagai seorang pemimpin,” katanya dalam satu entri di laman Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers, hari ini.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan seorang anggota skuad Lang Merah membuat pendedahan bahawa kebanyakan pemain sudah tawar hati untuk turun berlatih.
Dedahnya, ramai pemain, terutama import mula memikirkan untuk meninggalkan Kedah kerana sudah lima bulan tidak dibayar gaji, apatah lagi sambutan Hari Raya Aidiladha bakal disambut Jumaat ini.
Dalam pada itu, Tunku Ismail menambah, penularan pandemik Covid-19 menguji kewangan JDT namun pemain, jurulatih, kakitangan dan pengurusan sebulat suara bersetuju untuk memotong gaji dalam membantu kelab berkenaan.
Bukan setakat itu sahaja, Tunku Ismail memberitahu, ‘keluarga JDT’ itu juga bersetuju untuk menderma sebahagian gaji mereka kepada Tabung Bencana Negeri Johor sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka.
Selain mementingkan kebajikan para pemain, kelab JDT itu juga menyediakan fasiliti bertaraf dunia yang boleh dikatakan terbaik di Asia Tenggara.