KUALA LUMPUR: Isu gaji dan ketirisan kewangan tidak akan lagi mencemari liga bola sepak tempatan apabila semua pasukan diswastakan sepenuhnya, kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon.
Sedar betapa pentingnya untuk pasukan tidak diuruskan oleh persatuan yang bergantung kepada dana kerajaan, FAS sudahpun memulakan proses peralihan kepada kelab apabila Liga Malaysia (Liga M) dibuka musim depan.
“Proses (pertukaran status) sudah mencapai 70 peratus. Kami dah sediakan semua dokumen diperlukan dan yakin dapat melengkapkannya sebelum tarikh yang ditetapkan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia).
“Satu syarikat baharu akan menguruskan operasi FC (kelab) dan ia tidak ada kaitan dengan FA yang lebih menumpukan kepada pembangunan akar umbi dan sebagainya.
“Selepas ini, saya percaya isu gaji tidak dibayar, ketirisan kewangan tidak akan timbul lagi sekali gus membawa imej lebih baik kepada bola sepak Malaysia.
“Perkara ini tak mampu dicapai tanpa kerjasama semua pihak terutama pemegang taruh FAM. Cara setiap persatuan mungkin berbeza tapi matlamat tetap sama,” kata Johan kepada Utusan Malaysia semalam.
Kata Johan, sudah tiba masanya industri bola sepak Malaysia melakukan tranformasi ke arah profesional mengikut garis panduan yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
FAM sebelum ini menetapkan September sebagai tarikh akhir buat setiap persatuan bertukar status kepada kelab atau mereka tidak akan dibenarkan bertanding dalam Liga M musim depan.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam tanpa mendedahkan butiran terperinci berkata, hanya empat pasukan sudah melengkapkan status FC, 12 dalam proses manakala enam lagi tidak melakukan sebarang tindakan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA), Mohd. Asri Ninggal mengakui, cabaran untuk FA ke FC bukan mudah namun perlu dimulakan.
“Kami hampir 70 peratus proses untuk ke FC. FA sendiri akan menguruskan operasi mengikut tiga langkah diberikan FAM.
“Kita masih mencari syarikat yang betul-betul mahu mengambil alih kelab,” katanya.