LONDON : Pep Guardiola tidak akan memberikan cuti kepada pemainnya selepas tamat aksi Liga Perdana Inggeris kerana mereka perlu bersedia untuk aksi menentang Real Madrid di Liga Juara-Juara.
Aksi Eropah merupakan peluang terbaik City untuk menambah koleksi piala selepas merangkul Piala EFL awal musim ini sebelum dikecewakan Arsenal dalam separuh akhir Piala FA.
City memiliki kelebihan 2-1 dalam aksi pertama di Santiago Bernebeu dan Guardiola menegaskan dia tidak akan memberikan cuti kepada pemainnya selepas tamat saingan domestik.
“Tidak, selepas aksi menentang Watford, kami ada dua hari untuk perlawanan terakhir liga dan selepas itu kami akan gunakan tempoh dua minggu untuk berlatih.
“Kami akan lakukan perubahan untuk kedua-dua perlawanan ini, ada pemain yang beraksi di separuh akhir Piala FA bakal direhatkan,” katanya.
Walaupun tewas dalam aksi penting hujung minggu lalu selain kehilangan kejuaraan Liga Perdana Inggeris kepada Liverpool, Guardiola tetap bersemangat untuk terus membimbing City.
“Sebagai pengurus pasukan, kamu memiliki kelebihan dengan perkara-perkara positif tetapi selepas memenangi banyak perlawanan, anda akan berdepan kesukaran mengawal situasi.
“Tetapi saya tetap bersemangat untuk dua minggu ini, persediaan berjumpa Real dan memulakan musim hadapan.
“Ini adalah cabaran, saya tidak pernah kekal bersama satu kelab untuk tempoh lima tahun dan saya perlu cabar diri saya.
“Adakah saya mampu kekalkan tahap permainan seperti sebelum ini?” katanya. – AGENSI