GEORGETOWN: Bekas penjaga gol pasukan Pulau Pinang dan PKNS FC, Isyafrial Azizly Ishak meletakkan Impian menggunung dapat melahirkan lebih ramai penjaga gawang utama tempatan menerusi penubuhan Akademi Penjaga Gol Pulau Pinang.
Turut bertindak sebagai jurulatih, Isyafrial, 36, berkata, akademi yang ditubuhkan sejak awal Januari tahun lalu itu diselianya bersama rakan seperjuangan, Khairul Nizam.
Khairul Nizam juga merupakan bekas penjaga gawang Pulau Pinang dan NS Chempaka.
“Menjadi impian saya untuk melahirkan lebih ramai penjaga gol tempatan khususnya anak jati Pulau Pinang.
“Kami akan menggunakan pengalaman yang ada untuk diketengahkan kepada semua peserta sekali gus mendedahkan bentuk latihan sebenar yang diterapkan pasukan profesional,” katanya.
Menurut beliau yang juga jurulatih Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) Daerah Timur Laut, ketika ini belum ada penjaga gol berasal dari Pulau Mutiara bermain di peringkat lebih tinggi.
Sehubungan itu, katanya, dia memasang impian untuk memastikan mampu melahirkan penjaga gol kelahiran Pulau Mutiara di peringkat lebih tinggi menerusi penubuhan akademi tersebut.
“Setakat ini kami telah menerima seramai 14 penyertaan yang berusia antara 11 hingga 40 tahun,” katanya.
Tambah beliau, kesemua peserta akademi itu terlibat dengan kelab liga tempatan termasuk bekas penjaga gol Pasukan Pulau Pinang, Amirul Asyraf Mohd. Suhaidi.
Tambahnya, akademi itu juga semakin mendapat tempat dalam kalangan anak muda di seluruh Pulau Pinang termasuk yang terlibat dengan kelab bola sepak dengan yuran sebanyak RM15 untuk tiga sesi setiap minggu.
Mengulas mengenai bentuk latihan yang diketengahkan, Isyafrial memberitahu, beliau lebih memfokuskan latihan kecergasan fizikal dan mental serta keserasian di padang.
“Ini penting kerana mereka perlu belajar menyesuaikan diri di padang termasuk ketika beraksi dengan pemain posisi utama lain,” ujarnya.