IPOH: Perak sudah bersedia menghadapi kemungkinan tidak dapat menggunakan khidmat penjaga gol utama, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dalam baki saingan Liga Malaysia (M) musim ini.
Skuad The Bos Gaurus menguji khidmat seorang penjaga gawang import, Yaren Sozer, 23, yang kini ditempatkan bersama pasukan pembangunan, Perak II.
Sozer dari Melbourne, Australia sudah diturunkan dalam perlawanan menentang Pulau Pinang dan boleh mewakili Perak jika diperlukan.
“Hafizul sudah sembuh dan akan mula berlatih tidak lama lagi, tetapi saya tidak mahu mengambil risiko.
“Perak ada penjaga gol simpanan iaitu Khairul Amri Salehuddin dan Nasrullah Aziz.
“Kini kami juga ada Sozer. Jika diperlukan dia akan bermain untuk pasukan Liga Super nanti,” kata Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic.
Begitupun jika mahu menurunkan Sozer, Bos Gaurus terpaksa merehatkan salah seorang awang importnya kerana susah memiliki kuota import lengkap.
Pemain import Perak adalah Guilherme De Paula Lucrecio, Thierry Chantha Bin, Antony Paul Golec, Raianderson Da Costa Morais atau Careca dan Leandro Dos Santos.
Hafizul yang baru menjalani pembedahan lutut dikhuatiri tidak sempat sembuh apabila Liga M bersambung 26 Ogos ini.