LONDON: Pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer tidak gentar untuk menggugurkan David De Gea dalam perlawanan menentang West Ham, awal pagi ini selepas penjaga gol No. 1 itu membuat kesilapan ketika tewas kepada Chelsea kelmarin.
De Gea membuat kesilapan sehingga bolos tiga gol dalam saingan separuh akhir Piala FA menyaksikan United tewas 3-1 kepada Chelsea.
Solskjaer mengakui, penjaga gol utama itu sepatutnya boleh menangkis jaringan kedua daripada Mason Mount sejurus babak kedua bersambung, sekali gus mengukuhkan alasannya untuk merehatkan pemain berusia 29 tahun tersebut.
Pengendali dari Norway itu sebelum ini banyak membela kesilapan De Gea yang lalu, namun kali ini Solskjaer enggan memberi jaminan sama ada pemain tersebut akan berada dalam kesebelasan utama menentang West Ham pada saingan Liga Perdana Inggeris.
“Saya tidak mahu mengulas tentang perkara itu. Kami bersama dalam satu pasukan dan seperti yang saya katakan tadi, David membuktikan dia sebelum ini kuat dari segi mental.
“Kami akan tetap bersama dan akan berdepan West Ham esok,” katanya ketika diminta mengulas kedudukan De Gea dalam kesebelasan utama menentang West Ham nanti. – AGENSI