LONDON: Rumah bintang Liverpool Fabinho dipecah masuk kelmarin sewaktu pemain dari Brazil itu bersama rakan sepasukan meraikan gelaran Liga Perdana Inggeris.
Rumah pemain tengah itu menjadi sasaran antara pukul 3 petang Rabu hingga 4 pagi Khamis.
Tempoh itu bertepatan dengan masa yang dihabiskan Fabinho di Anfield, ketika Liverpool mengalahkan Chelsea 5-3 sebelum memulakan majlis penyerahan trofi Liga Perdana.
Polis mengesahkan sejumlah barang kemas dan Audi RS6 berwarna kelabu dicuri sewaktu kejadian tersebut berlaku di Formby.
Keretanya bagaimanapun ditemui di Wigan sejurus selepas kejadian itu diketahui.
“Detektif di Sefton meminta maklumat susulan kejadian pecah masuk.
“Polis bergegas ke lokasi kejadian pada awal pagi ini (Khamis, 23 Julai) selepas penghuninya memasuki kediaman mereka dan mendapati telah dipecah masuk.
“Tiada penghuni di kediaman tersebut sewaktu kejadian itu berlaku,” kata jurucakap polis kepada Liverpool Echo.- AGENSI