KUALA LUMPUR: Pada 2017, seluruh Malaysia bercakap mengenai Muhammad Faiz Subri kerana kejayaannya merangkul anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Begitupun tiga tahun berlalu, Faiz kini tanpa kelab dan menjual begedil untuk kelangsungan hidup selepas Liga M3 (amatur) pentas dia mencari rezeki dibatalkan ekoran pandemik Covid-19.
Biarpun hidupnya tidak seindah dulu, namun Faiz menegaskan, dia tidak akan sesekali menjual trofi Puskas sekalipun sedar nilainya mampu mencecah ratusan ribu ringgit.
“Mustahil dan tidak akan berlaku (trofi Puskas dilelong).
“Ia kenangan yang amat indah. Saya sedar langit tidak selalunya cerah kerana jangka hayat pemain bola sepak tidak lama, namun kehidupan tetap perlu diteruskan.
“Saya melakukan perniagaan kecil-kecilan seperti menjual tauhu bergedil yang dibuat oleh isteri, selain wangian.
“Hidup tidaklah terlalu mewah tetapi tidak juga susah. Kehidupan kami sederhana, sama seperti orang lain,” kata bekas pemain tengah Pulau Pinang itu kepada Mingguan Malaysia.
Kata Faiz, sempena sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos depan, dia turut mengambil peluang mengeluarkan baju istimewa FS13.
Pada 16 Februari 2016, jaringan lencong Faiz, 33, mencuri tumpuan dunia apabila dikatakan melawan graviti sehingga mengelirukan penjaga gol Pahang, Nasril Naurdin.
Ramai yang melakukan kajian terhadap gol tersebut hingga ada yang menyifatkannya sebagai menepati ‘hukum gerakan ketiga Newton’.
Video jaringan Faiz menerima lebih empat juta tontonan di Youtube, malah kejayaan bapa kepada tiga anak itu membolehkannya berkongsi pentas anugerah bersama bintang dunia seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi dalam majlis gilang gemilang di Zurich.
Selepas kerjayanya bersama Pulau Pinang berakhir, Faiz menyertai kelab Liga M3 dari Perlis, Northern Lions FC dengan misi untuk kembali ke liga utama pada 2021.
“Tahun ini patut dapat main semula bersama pasukan Liga M3 tapi liga dibatalkan. Kalau ada rezeki saya mahu bermain lagi tahun depan tetapi jika tidak, kehidupan diteruskan seperti biasa,” katanya.
Selain menjual begedil secara dalam talian, minat mendalam terhadap bola sepak juga mendorong Faiz menguruskan Akademi Rusham FC di Batu 17, Tunjang, Kedah.
Akademi Rusham FC yang melatih kanak-kanak bawah 12 tahun berjaya merangkul pelbagai kejayaan di peringkat domestik hingga turut ‘dipancing’ kelab lain seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD).