LONDON: Tekanan lebih dirasai Manchester United apabila Liga Perdana Inggeris tiba di penghujung saingan dengan slot terakhir Liga Juara-Juara menjadi perebutan, kata pertahanan Leicester City, Jonny Evans.
Evans percaya, Leicester turun sebagai underdog apabila menerima kunjungan United di Stadium King Power, malah seri sudah memadai buat mereka andai Chelsea tumpas kepada Wolverhampton di Stamford Bridge dalam satu lagi perlawanan serentak.
“Sasaran awal musim kami adalah enam terbaik, selain itu dianggap bonus. Sejarah hebat United pula menyebabkan mereka tidak boleh mencatat keputusan kurang daripada empat terbaik,” kata Evans kepada MUTV.
Perlawanan dijangka sengit kerana kedua-dua pasukan memiliki jentera serangan tajam, namun Leicester perlu membolosi gawang United dalam 30 minit pertama untuk menyuntik semangat.
Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer menegaskan, mereka tidak akan memberi laluan mudah kepada Leicester kerana misi utama Red Devils adalah menang.
“Kami mahu tiket Liga Juara-Juara, jadi kami kena kalahkan mereka. Keputusan seri mungkin sudah memadai tapi kami persiapkan pasukan untuk menang,” kata Solskjaer.
Ketika Liga Perdana berbaki satu perlawanan, United menghuni tangga ketiga dengan berkongsi 63 mata bersama Chelsea manakala Leicester di tempat kelima menerusi 62 mata.
Hanya empat pasukan terbaik layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan. Dua slot pertama sudah ditempah juara dan naib juara liga, Liverpool serta Manchester City.
– AGENSI
LEICESTER
Formasi: 3-4-3
PERTAHANAN
» Walaupun melepaskan tiga gol ketika tewas 0-3 kepada Tottenham, Kasper Schmeichel tetap mendapat kepercayaan menjaga gawang. The Foxes mungkin menurunkan Ryan Bennett, Wes Morgan dan Jonny Evans untuk menangkis serangan United.
TENGAH
» Youri Tielemans dan Wilfried Ndidi nadi Leicester di bahagian tengah. Duo dinamik itu akan menentukan sama ada jentera serangan mampu berfungsi atau tidak. Luke Thomas pula berpeluang membuktikan keupayaan di sayap kiri manakala James Justin bergerak di kanan.
SERANGAN
» Harvey Barnes dan Ayoze Perez bersedia menghukum benteng United yang kelihatan rapuh di kiri dan kanan manakala Jamie Vardy menyerang dari tengah.
MANCHESTER UNITED
Formasi: 4-2-3-1
PERTAHANAN
» David de Gea dijangka kekal sebagai penjaga gol utama walaupun prestasinya dikritik teruk. Harry Maguire dan Victor Lindelof mengetuai pertahanan tengah manakala Aaron Wan-Bissaka kembali di bek kanan dan Brandon Williams bek kiri.
TENGAH
» Paul Pogba akan menjadi perancang utama bersama Nemanja Matic. Trio berbakat Marcus Rashford, Bruno Fernandes dan Mason Greenwood pula menunggu untuk mengucar-ngacirkan benteng Leicester
SERANGAN
» Anthony Martial sekali lagi mengetuai serangan tetapi United juga mempunyai pilihan untuk menurunkan Odion Ighalo sebagai pemain gantian.