LONDON: Patrice Evra mengkritik persembahan Marcus Rashford selepas Manchester United terikat 1-1 dengan West Ham dalam aksi Liga Perdana Inggeris di laman sendiri, awal pagi tadi.
The Red Devils kehilangan dua mata penting dalam perebutan slot ke saingan Liga Juara-Juara tetapi berjaya melonjak ke kedudukan ketiga menjelang aksi terakhir liga, hujung minggu ini.
Mason Greenwood memadam kelebihan penalti Michal Antonio yang diraih selepas bola terkena tangan Paul Pogba tetapi Rashford menjadi sasaran kritikan Evra selepas perlawanan.
“Saya tahu ia akan menjadi perlawanan sukar buat United tetapi saya kecewa dengan aksi kali ini.
“Banyak kritikan dilemparkan kepada Pogba dan insiden penalti tetapi saya tidak pernah lihat Rashford dikritik.
“Aksinya sangat teruk malam ini. West Ham layak diberikan pujian,” katanya.
Legenda United, Gary Neville turut mempersoalkan tahap kecergasan penyerang England itu.
Rashford sebelum ini menjaringkan dua gol dalam dua aksi terakhir liga sebelum bertemu West Ham, tetapi kini mengharungi dua perlawanan tanpa sebarang jaringan termasuk ketika tewas pada separuh akhir Piala FA kepada Chelsea.
“Marcus Rashford mengharungi 15 minit yang sangat teruk, termasuk tahap kecergasan.
“Manchester United merehatkan beberapa pemain menjelang separuh akhir Piala FA tetapi ia seperti tidak membantu mereka malam ini. Ole Gunnar Solskjaer
menggunakan kesebelasan utamanya.
“Secara fizikalnya mereka tidak seperti sebelum ini,” katanya. – AGENSI