KUALA LUMPUR: Fabio Quartararo terus mengukuhkan kedudukan sebagai pencabar utama kejuaraan MotoGP dunia apabila merangkul kejuaraan kelas utama buat kali kedua berturut-turut dalam Grand Prix Andalusia di Jerez, sebentar tadi.
Bermula dari petak pertama, Quartararo melonjakkan nama pasukan Petronas Yamaha SRT sekali lagi selepas mencatat kepantasan 41 minit 22.666 saat (s).
Pelumba Perancis berusia 21 tahun itu jelas dahagakan kejuaraan apabila menerajui perlumbaan dari awal hingga akhir.
Dia mengetepikan pelumba berpengalaman Sepanyol, Maverick Vinales dari pasukan Monster Energy Yamaha yang ketinggalan 4.495s di belakang.
Rakan sepasukan Vinales yang juga juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi dari Itali melengkapkan podium ketiga selepas ditinggalkan 5.546s.
Dalam pada itu, penyandang juara dunia, Marc Marquez tidak menyertai pelumbaan akibat kecederaan.- AGENSI