LONDON: Frank Lampard percaya kehadiran Christian Pulisic ke Chelsea memberi impak sama seperti Eden hazard ketika di Stamford Bridge.
Pulisic meledak gol dan mencipta gerakan jaringan selepas dibawa masuk pada babak kedua sewaktu Chelsea tewas 5-3 kepada Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.
Pemain kebangsaan Amerika Syarikat berusia 21 tahun itu meledak sembilan gol dan empat bantuan dalam 24 perlawanan, jika dibandingkan dengan Hazard dalam kempen pertamanya (sembilan gol dan 11 bantuan dalam 34 perlawanan) pada 2012-13.
Kata jurulatih Chelsea itu, dia lega melihat impak Pulisic yang hampir dengan Hazard selepas pemain kebangsaan Belgium itu berhijrah ke Real Madrid tahun lalu.
“Dia sangat penting. Dia mempunyai impak tersebut. Saya masih di sini sewaktu tahun pertama Eden bersama Chelsea dan bukan mudah untuk masuk ke Liga Perdana.
“Bagaimanapun pada tahun pertamanya, dia sudah menyesuaikan diri dengan Liga Perdana. Christian pula melalui fasa yang sama dengan Eden.
“Sejak pertengahan musim dia beraksi bagus apabila liga bersambung semula dia mempamer aksi mantap sehinggalah kecederaan membelenggunya sewaktu berdepan Norwich, menyaksikannya dikeluarkan dalam saingan separuh akhir Piala FA.
“Hari ini dia masuk dan mempunyai tempoh 40 minit, di mana penting untuk dia meraih keyakinan sekali gus mempamerkan kualiti. Dia masih muda dan ada bakat semula jadi.
“Dia menjaringkan gol, mencipta peluang gol dan dia pemain penting bagi kami,” katanya.