LONDON: Christian Pulisic mengesahkan dia cergas 100 peratus dan bersedia untuk membantu Chelsea menentang Arsenal dalam final Piala FA esok.
Penyerang Amerika Syarikat (AS) itu bergelut dengan isu kesihatan sejak beberapa minggu lalu hingga memaksa pengurus, Frank Lampard mengetepikannya dalam separuh akhir menentang Manchester United, 20 Julai lalu.
Pulisic hanya dimasukkan sebagai pemain gantian dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Liverpool pada 23 Julai dan dikeluarkan awal ketika Chelsea mengalahkan Wolverhampton 2-0 pada aksi terakhir liga untuk langkah berjaga-jaga.
“Saya tiada isu besar, 100 peratus cergas,” kata Pulisic, 21, dalam temu bual bersama ESPN hari ini.
Berita itu pasti menggembirakan Lampard yang memburu kejuaraan Piala FA kesembilan buat Chelsea dan cuba memenangi perlawanan besar kedua ke atas Arsenal selepas menewaskan mereka 4-1 dalam final Liga Europa, musim lalu.
Biarpun belum mengukuhkan nama dalam Liga Perdana, Pulisic memberi amaran kepada penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang yang juga bekas rakan sepasukannya di Borussia Dortmund ‘kamu mungkin boleh meledak gol tetapi kamu tidak akan menang’.
“Saya dan Auba masih berkawan baik. Kami bermain bersama untuk tempoh yang panjang ketika berada di Dortmund.
“Begitupun, fokus kami sekarang adalah berbeza dan kami mahu menang untuk pasukan masing-masing. Saya yakin, pertarungan pasti menarik, kami juga akan bersaing,” kata Pulisic. – AGENSI