Piya menang gol lambungan terbaik Piala AFC - Utusan Malaysia

Piya menang gol lambungan terbaik Piala AFC

BADHRI RADZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jaringan ‘gelembung buaya’ terkenal yang dilakukan Mohd. Badhri Radzi tujuh tahun lalu membolehkan bekas kapten Kelantan itu memenangi gol ‘chips’ atau lambungan terbaik Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Selepas undian ditutup hari ini, bekas jeneral padang The Red Warriors yang mesra disapa Piya itu meraih 93 peratus undi, jauh meninggalkan pesaing lain.

Pemain Ceres Negros, Bienvenido Maranon dan bintang Myanmar yang pernah mewakili Yangon United, Kyaw Ko Ko sekadar memperoleh tiga peratus undian untuk berkongsi kedudukan kedua.

Bekas pemain Chonburi FC, Thiago Cunha dan Pak Myong-song pula berkongsi kedudukan ketiga selepas masing-masing hanya meraih satu peratus undian.

Gol cantik Piya itu terhasil ketika dia membantu Kelantan membelasah kelab Vietnam, SHB Da Nang 5-0 dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala AFC pada 2 April 2013.

Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid sebelum ini mengharumkan nama Malaysia apabila muncul pemenang gol lencongan terbaik sepanjang Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Penyerang Petaling Jaya City (PJ City) yang pernah mewakili JDT, Safee Sali turut tersenarai dalam jaringan akrobatik terbaik Piala AFC, namun tewas kepada pemain Vietnam, Nguyen Van Quyet yang mendapat 51 peratus undian.

Biarpun jaringan Piya sudah dinobatkan sebagai pemenang gol lambungan terbaik, peminat bola sepak negara masih ada tugas yang belum selesai.

Hari ini, AFC membuka undian untuk lima aksi menyelamatkan gawang terbaik atau ‘5 of the Best: Saves’. yang penjaga gol JDT, Izham Tarmizi Roslan berada dalam senarai bersama Lo’ai Al Amaireh (Al Faisaly), Hassan Sunny (Home United), Mammet Orazmuhammedov (Altyn Asyr) dan Ali Daher dari kelab Lebanon, Al Ahed.

Setakat ini aksi Lo’ai ketika membantu pasukannya menentang Shaab Al Ibb pada 2 April 2013 mengatasi pesaing lain dengan 69 peratus undian manakala Izham di tempat kedua menerusi 23 peratus undian.

Kepada yang mahu mengundi boleh melawati: https://www.the-afc.com/competitions/afc-cup/latest/news/5-of-the-best-saves-x0565

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya