Pisahkan bola sepak, politik - Utusan Malaysia

Pisahkan bola sepak, politik

MOHD. FIRDAUS MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarat wajib pertama untuk pasukan negeri menuju ke arah penswastaan sepenuhnya adalah dengan memisahkan bola sepak daripada politik.
Menggunakan sukan No. 1 dunia itu sebagai platform bagi ahli politik meraih populariti tidak boleh lagi diterima, sebaliknya pasukan harus diserah kepada syarikat-syarikat korporat atau hartawan.

Syarat kedua untuk memastikan proses peralihan FA (persatuan) kepada FC (kelab) dapat dilakukan dengan lancar adalah dengan tidak menjanjikan ‘bulan bintang’ kepada pemain di awal penswastaan.

Ketika ini, ada pasukan sanggup menawarkan gaji sehingga RM100,000 (tempatan) dan RM300,000 (import) untuk menarik pemain bertaraf bintang.
Begitupun disebabkan pasukan bergantung kepada dana kerajaan, yang berkait rapat dengan politik maka berlakulah isu tunggakan gaji dan pelbagai masalah lain.

“Pandemik Covid-19 telah membuka mata kita betapa pentingnya pasukan bola sepak diswastakan dan bergerak sebagai FC, iaitu menjana pendapatan sendiri, tidak bergantung kepada kerajaan dan tidak dipengaruhi politik.

“Tengok apa berlaku kepada Kedah, gaji pemain sangkut sebab penaja lambat bayar dan kerajaan tidak menghulur dana kerana mengutamakan rakyat.

“Bukan mudah untuk FA bertukar kepada FC tetapi suka atau tidak, perkara ini kena dilaksanakan atau bola sepak Malaysia cuma profesional pada nama.

“Dengan kewujudan FC juga, presiden yang dilantik tidak boleh lari ketika pasukan berdepan isu kewangan. Mereka kena bertanggungjawab sampai selesai atau pemain boleh bawa perkara itu ke muka pengadilan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Task Force Pelesenan Kelab Profesional Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd. Firdaus Mohamed kepada Utusan Malaysia.

Dengan penswastaan pasukan, syarikat yang dilantik perlu kreatif mencari dana kerana selain tidak boleh bergantung kepada bantuan kerajaan dan kutipan tiket, mengharapkan ‘talian hayat’ Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menerusi hak siaran te­levisyen juga bukan jalan penyelesaian utama.

Kata Firdaus, FAM akan membantu memberi jalan kepada ahli gabungan dalam memastikan proses FA ke FC berjalan lancar namun langkah awal perlu dilakukan persatuan ne­geri terlebih dahulu.

“Nak cari individu berminat mungkin susah tetapi saya percaya jika FA buat iklan dan tawaran dengan syarat yang dipersetujui, pasti ada yang mahu (terajui kelab).
“Benar memang sukar tetapi cuba dulu. kalau tidak berjaya barulah FAM akan bantu,” ­katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN