IPOH: Perak II belum menekan butang cemas biarpun menduduki tangga tercorot Liga Perdana yang akan bersambung pada 26 Ogos ini.
Ketua jurulatihnya, Abu Bakar Fadzim berkata, masih terlalu awal untuk membuat andaian mengenai kemampuan pasukan itu.
“Baru empat perlawanan. Masih ada baki tujuh permainan. Ada peluang memperbaiki kedudukan.
“Jurang mata antara Perak dengan pasukan di atas sangat rapat. Biarpun kami di kedudukan terakhir tetapi saya yakin masih boleh kejar.
“Ia bukan tugas mudah kerana kami bukan pasukan ternama sdan tidak punyai pemain bintang cuma saya harap pemain sedia melaksanakan tugas dengan berkesan,” katanya.
Kata Abu Bakar, Perak II mengalami banyak halangan pada awal musim menyebabkan persembahan pasukan terjejas.
“Saya yakin suasana semakin baik dan pasukan akan menjalani perjalanan lebih lancar,” katanya.
Menurut Abu Bakar, berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak Mac lalu semua pasukan terjejas dari segi kemampuan kerana berehat panjang.
Kebenaran baru diberikan kerajaan kepada pemain untuk berlatih dalam kelompok besar selepas hanya bermain dalam kumpulan kecil.
“Kebenaran ini membolehkan pemain mempergiatkan latihan dalam usaha meningkatkan kemantapan pasukan,” kata Abu Bakar.
Liga M yang bersambung nanti menyaksikan pasukan hanya akan melengkapkan jadual Liga Super dan Perdana, sebelum memberi tumpuan kepada saingan Piala Malaysia.
Tiada perlawanan Piala FA akan diadakan.