KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi menjangkakan perlumbaan MotoGP di Sepanyol hujung minggu ini lebih mencabar kerana perlu berdepan cuaca panas di Litar Jerez.
Pelumba Petronas Sprinta Racing itu yang mencatat masa satu minit 47.735 saat sepusingan dalam sesi ujian masa bagaimanapun enggan mengambil kisah dengan ancaman tersebut, sebaliknya tidak sabar untuk kembali bertarung.
Ia susulan lebih empat bulan Khairul atau lebih terkenal dengan julukan SuperKIP ‘berehat’ daripada menyertai perlumbaan kompetitif akibat penangguhan dan rombakan jadual MotoGP ekoran penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia.
“Saya sangat gembira dapat kembali menunggang dan bergabung dengan pasukan. Kami ibarat satu keluarga.
“Hari ini (sesi ujian semalam), agak positif. Rentak bagus kerana kami fokus lebih kepada menyesuaikan dengan penunggangan dari mencari catatan masa terpantas.
“Pagi itu cuaca baik, namun sangat panas menjelang tengah hari, ia sedikit mencabar untuk kami. Saya rasa situasi sama akan berlaku pada perlumbaan hujung minggu ini, namun saya tidak sabar untuk kembali berlumba,” katanya menerusi laman sesawang rasmi pasukan, hari ini.