LONDON: Detik yang dinantikan penyokong Liverpool akhirnya tiba hari ini.
Hampir sebulan selepas menamatkan penantian 30 tahun, nama Liverpool terukir pada trofi Liga Perdana Inggeris (EPL).k
Sky Sports hari ini menyiarkan video di Twitter dengan nama Reds diukir pada piala itu bersama Chelsea, Manchester City dan Manchester United.
Skuad bimbingan Jurgen Klopp muncul juara paling awal dalam sejarah EPL apabila mengesahkan kejuaraan ketika saingan berbaki tujuh perlawanan selepas Manchester City tewas kepada Chelsea pada Jun lalu.
Biarpun menunjukkan aksi tidak menentu menuju ke penghujung saingan apabila hanya menang dua kali dan kalah di Manchester City serta Arsenal, namun mereka tetap unggul dengan 18 mata mengatasi City.
Liverpool akan menerima kunjungan Chelsea Khamis ini sebelum bertandang ke Newcastle pada hari terakhir kempen musim ini.
Mereka akan menjulang trofi dalam sambutan istimewa selepas pertemuan dengan Chelsea. – AGENSI