ALOR SETAR: “Jujurnya, kebanyakan pemain sudah tawar hati untuk turun berlatih.”
Itu luahan seorang anggota skuad Kedah ketika ditanya mengenai kemelut pasukan itu yang berdepan isu tunggakan gaji lima bulan.
Menurut individu yang enggan namanya didedahkan, semangat pemain untuk berlatih ketika ini hanyalah rayuan jurulatih selain rasa hormat terhadap negeri serta penyokong.
“Terlalu banyak kekecewaan dipendam ketika Liga Malaysia (Liga M) akan bermula tidak lama lagi.
“Moral kami jatuh. Maaf saya katakan, kalau kami ke final ramai yang bersama pasukan tapi ketika berdepan masalah begini, tiada seorang pun exco Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) datang menerangkan keadaan sebenar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Katanya, rata-rata pemain termasuk tonggak import sememangnya memikirkan untuk ‘angkat kaki’.
“Tetapi dari satu sudut kami memikirkan semula sama ada langkah itu benar-benar dapat menyelesaikan masalah.
“Jika kami tinggalkan pasukan begitu saja, mungkinkah tunggakan gaji tidak dibayar,” katanya.
Presiden KFA yang juga Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor kelmarin mendedahkan hutang lama KFA yang tertunggak mencecah RM10.6 juta merangkumi gaji pemain, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan penyedia tiket pengangkutan.
Kata Sanusi, mesyuarat KFA pada 3 Ogos depan digunakan untuk menilai semula komitmen kewangan persatuan selain penetapan tarikh bertemu pemain.
Kata individu itu lagi, pendedahan tersebut menambah kegusaran pemain dan jurulatih.
“Hal ini cukup sensitif buat pemain. Sudahlah tidak menerima gaji pada Hari Raya Aidilfitri lalu, kini untuk Hari Raya Aidiladha pun belum ada bayang gaji.
“Memang ada pemain tak mahu turun berlatih tetapi jurulatih (Aidil Sharin Sahak) merayu dan beritahu mereka, dia sanggup meninggalkan keluarga di Singapura untuk kembali ke Kedah walaupun tidak bergaji,” katanya.