MADRID: Lionel Messi mengetepikan Karim Benzema untuk merangkul anugerah Kasut Emas selaku penjaring terbanyak La Liga buat kali ketujuh selepas saingan bola sepak Sepanyol ditutup secara rasmi hari ini.
Penyerang Barcelona itu melengkapkan musim dengan meledak 25 gol – empat jaringan mengatasi pesaing rapat dari Real Madrid, Benzema.
Ini adalah kemenangan keempat berturut-turut buat Messi, sekali gus menjadikannya pemenang terbanyak dalam sejarah La Liga.
Dua gol kapten Argentina itu membolehkan Barcelona membelasah Alaves 5-0 semalam dan menutup saingan dengan 82 mata, lima mata ditinggalkan juara, Real yang diikat 2-2 oleh Leganes dalam perlawanan terakhir.
Buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun, penjaring terbanyak La Liga gagal mengatasi 30 jaringan, namun itu tidak penting buat Messi kerana kejayaan menjulang trofi Kasut Emas ketujuh sudah memahat satu sejarah tersendiri.
Kejayaan itu pasti menyuntik semangat penyerang berusia 33 tahun itu sebelum memimpin pasukannya untuk berdepan Napoli dalam perlawanan keduya, pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara di Camp Nou, 8 Ogos ini. Kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Itali. – AGENSI