FRONTERA, Sepanyol: Penyandang juara MotoGP dunia, Marc Marquez mungkin terlepas pusingan ketiga atau semusim penuh saingan Kejohanan Motosikal Dunia selepas terbabit dalam nahas di Litar Jerez semalam.
Pelumba tersebut mengalami kemalangan di selekoh ketiga ketika berbaki tiga pusingan dalam saingan pertama musim 2020 pada Grand Prix Sepanyol.
Nahas tersebut menyebabkan Marquez patah tulang humerus (dari bahu ke siku) kanan akibat berlanggar dengan tayar motosikalnya sewaktu terbabas.
Susulan daripada itu, juara enam kali itu akan menjalani pembedahan di lengan kanannya.
“Ada kalanya semua perkara yang kita harapkan tidak terjadi, tetapi paling penting bangkit dan terus mara.
“Sekarang saya akan menjalani pembedahan. Saya berjanji kepada anda semua yang saya akan kembali secepat mungkin dengan lebih bertenaga,” kata pelumba Sepanyol itu menerusi Twitter.