LONDON: Jurgen Klopp mahu mengadakan pesta besar-besaran bersama penyokong Liverpool bagi meraikan kejayaan menjulang trofi Liga Perdana Inggeris selepas wabak Covid-19 berakhir.
Reds menamatkan penantian 30 tahun untuk merangkul gelaran juara England, dengan trofi diserahkan kepada mereka sejurus selepas menang 5-3 ke atas Chelsea di Anfield hari ini.
Tiada kelibat penyokong sewaktu Liverpool meraikan detik istimewa itu susulan sekatan pergerakan bagi membendung penyebaran Covid-19 tetapi Klopp berjanji akan mengadakan pesta sebenar selepas keadaan selamat.
“Jika anda tidak dapat lihat apa yang kami lakukan untuk anda, saya tidak dapat tolong.
“Lima tahun lalu saya ubah dari rasa ragu-ragu kepada kepercayaan. Saya cakap dan anda lakukan. Anda membuatkan kami juara. Terima kasih banyak.
“Kita semua patut meraikannya. Minum apa yang anda mahu tetapi anda perlu mengadakan pesta apabila wabak Covid-19 berakhir. Kemudian kita akan sambut besar-besaran. Pastikan anda semua bersedia,” kata Klopp kepada Sky Sports.
Kapten Liverpool, Jordan Henderson merealisasikan impian menjulang trofi bersama rakan-rakan seperjuangan selepas tamat perlawanan.
“Permulaan yang sangat bagus dan dari situ kami membesar dan terus membesar.
“Kami semakin kuat, berkeyakinan dan tidak berkarat. Kami menemui cara untuk menang dan mempunyai mentaliti sang juara. Kami telah harungi musim yang menakjubkan dan sekarang waktu untuk meraikannya.
“Memungut 97 mata tahun lepas tetapi tidak menang memang memedihkan. Kami bangkit beberapa minggu kemudian dan menang Liga Juara-Juara, kemudian sambung pula kerja-kerja yang tertangguh di Liga Perdana,” kata Henderson. – AGENSI