LONDON: Biarpun berjaya mara ke pentas akhir Piala FA buat kali ke-21, namun kejayaan akan lebih manis jika dapat dikongsi bersama penyokong Arsenal, kata pengendali The Gunners, Mikel Arteta.
Taktik serangan balas yang direncana Arteta memerangkap pengendali Manchester City, Pep Guardiola apabila dua gol Pierre-Emerick Aubameyang membantu pasukan itu menang 2-0 di Stadium Wembley, awal pagi tadi.
Ketiadaan penyokong di stadium ekoran pandemik Covid-19 sedikit sebanyak merencatkan kemeriahan, namun aksi ditampilkan kedua-dua pasukan yang sering membalas serangan menyaksikan satu perlawanan menarik.
“Saya sangat gembira dan bangga dengan pemain cuma saya sedih kerana kami tidak dapat meraikan kejayaan ini bersama penyokong.
“Ini yang diingini dalam pasukan, pemain perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diperolehi. Mereka (City) adalah pasukan terbaik di Eropah dengan apa yang dipamerkan dalam aksi ini.
“City pasukan yang amat bagus apabila melakukan tekanan dalam intensiti tinggi, begitu juga kami. Gol pertama hasil gerakan cukup menarik,” jelas Arteta.
Sementara itu, Guardiola mengakui pasukannya tidak menunjukkan prestasi sebenar, sekali gus terpaksa melepaskan trofi Piala FA yang dimenangi musim lalu.
“Pasukan tidak bermain dengan baik pada babak pertama berbanding separuh akhir kedua. Bermula dengan perlahan, tidak seperti apa yang dilakukan sebelum ini.
“Kami sentiasa bersedia tetapi tidak dalam perlawanan ini. Saya tahu mereka bermain dengan meletakkan lima pemain di benteng dan melakukan tekanan tinggi seperti dilakukan dalam aksi menentang Liverpool.
“Kini kami mempunyai masa dua minggu untuk memastikan mara ke final (Liga Juara-Juara). Kami mahu kembali menemui rentak permainan, ini peluang terakhir untuk memenangi trofi kejuaraan,” katanya.- AGENSI