KUALA LUMPUR: Joshua Johan Bechler, pemain berdarah kacukan Malaysia-Jerman yang menyatakan minat untuk mewakili Malaysia bagaimanapun tiada dalam perancangan jurulatih skuad bawah 19 (B-19) negara, Brad Maloney.
Kata Maloney, dia tidak menerima sebarang maklum balas daripada pemain yang kini beraksi bersama skuad kelab Rot-Weiss Frankfurt B-17 di Jerman.
“Ia perkara yang baik untuk bola sepak negara apabila ramai pemain muda di luar negara berminat untuk menyarung jersi Malaysia tapi ini adalah skuad kebangsaan dan pemain kena buktikan sama ada mereka layak atau tidak.
“Nama dia sudah disebut sebelum ini dan kami ada meminta untuk melihat video (permainan) 90 minit tetapi tiada siapa yang berhubung dengan kami. Keputusan (untuk panggil) tidak dapat dibuat ketika ini,” katanya pada sesi latihan skuad B-19 tahun negara, di Wisma FAM semalam.
Joshua mencuri tumpuan dalam lliga bawah 17 Jerman (Hessenliga B-17) kerana memiliki kepantasan luar biasa dan menjadi buruan lebih 10 kelab profesional hingga digelar ‘Bolt’.
Dia yang turut diberi julukan ‘glucksbringe’ yang membawa maksud pembawa tuah dalam kalangan rakan sepasukan, pernah dilamar SV Wehen Wiesbaden, FSV Frankfurt dan SV Sandhaasen tiga pasukan bersaing dalam divisyen liga remaja tertinggi di Jerman, Bundesliga B-17.
Joshua turut mendapat perhatian kelab di Eropah dengan beberapa skuad remaja di England – Brighton, Fulham, Leeds United dan Queen Park Rangers antara yang pernah menawarkan peluang berlatih serta menguji kemampuannya.