KUALA LUMPUR: Tiada hasrat menunda Liga Malaysia (Liga M) yang dijadual bersambung 26 Ogos ini, namun semua pasukan diingatkan menjaga prosedur operasi standard (SOP) supaya tidak berlaku ‘kluster bola sepak’.
Ketua Pegawai Eksekutif, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab. Ghani Hassan berkata, beliau bimbang dengan keadaan semasa Covid-19 di negara ini, lebih-lebih lagi tinggal sebulan lagi tirai Liga M bakal disingkap.
“Itu sudah tentu (risau). Kita kena ambil berat tentang perkara ini (SOP) sebab Liga M akan berlangsung 26 Ogos nanti.
“Kemungkinan (isu Covid-19) ada mengganggu sedikit rentak saingan.
“Jadi, saya saran semua pasukan Liga M kekal berdisiplin dan ikut arahan ditetapkan. Belum ada lagi kluster Liga M, harap momentum itu diteruskan.
“Perlu disiplin bukan sahaja dalam padang, tetapi di luar padang. Ikut saranan kerajaan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai seorang pemain kelab Liga Perdana, Kuching FA yang disahkan positif Covid-19 kelmarin.
Ghani memuji tindakan bijak pengurusan Kuching FA mengarahkan kesemua pemain dan pegawai melakukan kuarantin di rumah masing-masing, seterusnya menjalankan pemeriksaan saringan.
“Kita simpati dengan apa yang berlaku, pemain tersebut mendapat jangkitan di tempat dia bekerja.
“Dia pun tak tahu dapat sebab tidak mengalami simptom, cuma tahu selepas membuat saringan di tempat kerja (bertugas di Hospital Sentosa).
“MFL harap dia dalam keadaan baik dan kami berdoa agar tiada perkara tidak diingini berlaku kepada mangsa, pemain dan juga pegawai Kuching FA,” katanya.