KUALA LUMPUR: Hafizh Syahrin Abdullah tidak kekok biarpun empat bulan tidak merasai ‘corner baring’ apabila sekadar ketinggalan 0.768 saat di belakang pelumba terpantas, Jorge Martin dari Red Bull KTM Ajo pada sesi ujian kedua Moto2 iaitu menjelang saingan MotoGP di Litar Jerez, Sepanyol Ahad ini.
Kata pelumba Aspar Team itu, yang mencatat masa satu minit 43.114 saat sepusingan, dia menikmati sesi tersebut dengan baik sekalipun berdepan cuaca panas yang mencecah suhu tertinggi 40 darjah Celsius di Litar Jerez, semalam.
“Saya sangat gembira dapat menunggang kembali motosikal dan bersama semula pasukan selepas empat bulan.
“Saya telah bekerja keras di mana pada hari pertama sesi ujian, saya rasa sangat baik.
“Kami akan berlumba pada hujung minggu ini dan anda boleh lihat suhu di sini, lebih 40 darjah Celsius di Jerez.
“Bagaimanapun saya tetap menikmatinya dan saya mahu meneruskan rentak sebegini pada perlumbaan sebenar nanti,” kata Hafizh menerusi laman sesawang Aspar Team, hari ini.
Menurut kenyataan Aspar Team, objektif utama sesi ujian semalam bagi menyesuaikan pelumba dengan jentera masing-masing selepas empat bulan tidak menunggang di mana kali terakhir mereka berlumba pada Grand Prix Qatar, awal Mac lalu.
Perlumbaan berprestij tersebut terpaksa ditangguhkan dan dirombak susulan penularan pandemik COVID-19.
Kali terakhir pelumba Moto2 negara itu beraksi tahun ini adalah pada GP Qatar, sebelum kalendar Kejuaraan Motosikal Dunia terpaksa dirombak susulan penularan pandemik Covid-19.