KUALA LUMPUR: Selepas melakar sejarah muncul gimnas Malaysia pertama layak ke Sukan Olimpik, Farah Ann Abdul Hadi yakin dia tidak akan berseorangan ke Tokyo tahun depan.
Pemenang tujuh pingat emas Sukan SEA itu optimis, salah seorang daripada rakan sepasukannya, Tan Ing Yueh atau Tracie Ang berpeluang cerah mengikuti langkahnya.
“Dua-dua ada potensi besar. Mereka gimnas yang sangat bagus, berbakat dan berdedikasi.
“Kita hanya tinggal satu slot kelayakan. Saya yakin mereka mampu sebab saya kenal rapat dan tahu keupayaan kedua-dua gimnas ini.
“Saya tahu impian mereka juga hendak beraksi di Olimpik, jadi mereka berlatih bersungguh-sungguh,” kata Farah dalam majlis pelancaran Utusan Malaysia dan Kosmo! Kembali kelmarin.
Jurulatih kebangsaan, Natalya Sinkova sebelum ini optimis seorang lagi anak buahnya akan layak ke Olimpik menerusi Kejohanan Senior Asia yang sepatutnya berlangsung di Tokyo, Mei lalu tetapi ditangguhkan susulan Covid-19.
Farah layak ke Olimpik selepas menduduki tangga ke-16 daripada 20 atlet dalam saingan all-around individu Kejohanan Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman.
Dia juga muncul gimnas ketiga layak ke Olimpik selepas Au Li Yen (Sydney 2000) dan Ng Shu Wai (Athens 2004).
Farah turut menegaskan, dia tidak mahu dianggap penumpang, sebaliknya menetapkan sasaran layak ke saingan akhir.
“Secara peribadi, saya harap dapat berada dalam kelompok 24 terbaik iaitu kedudukan untuk layak ke saingan akhir,” katanya.