KUALA LUMPUR: Membuka lebih banyak slot jawatankuasa tetap, selain mengadakan semua kejohanan peringkat umur setiap tahun antara cadangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam mesyuarat dengan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino semalam.
Dalam mesyuarat yang diadakan secara maya itu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin turut menyuarakan beberapa pandangan selain membincangkan impak pandemik Covid-19.
Mesyuarat dihadiri oleh semua presiden 11 negara anggota FIFA dari zon ASEAN.
“Memandangkan FIFA mempunyai 211 negara anggota, saya cadangkan agar mereka membuka pintu kepada lebih ramai wakil dilantik menganggotai sembilan jawatankuasa tetap FIFA.
“Infantino menyambut baik cadangan ini dan mengatakan akan mengadakan dialog lebih terperinci berhubung perkara ini pada masa akan datang.
“Saya juga mencadangkan kejohanan belia di bawah naungan FIFA diadakan setiap tahun supaya setiap peringkat umur berpeluang beraksi dalam perlawanan kompetitif menerusi proses kelayakan dan pusingan akhir.
“Infantino membalas, perkara ini sentiasa dalam perbincangan bersama Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan ia bergantung kepada situasi semasa ketika ini terutama selepas Oktober,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Mesyuarat berkenaan turut membincangkan situasi luar jangkaan berhubung Covid-19 dan FIFA menekankan kesihatan semua pihak kekal menjadi keutamaan dalam mendepani isu berkenaan.
“Infantino menggesa semua pihak bekerjasama dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bola sepak yang ditetapkan negara masing-masing.
“Semua pihak perlu berhati-hati kerana setiap negara berdepan cabaran berbeza dalam mengekang Covid-19.
“Industri bola sepak seluruh dunia menerima impak Covid-19, maka penting buat kita dan setiap 211 negara dalam gabungan FIFA memastikan tiada rantaian baru membabitkan bola sepak,” katanya.
Wakil setiap negara anggota ASEAN seramai 11 orang dan Australia memberi gambaran dan penjelasan terperinci perihal status Covid-19 di negara masing-masing dan Hamidin menyatakan kepada Infantino bahawa Liga Malaysia dijadualkan bermula 26 Ogos ini.
Hamidin dijadual menyertai Kongres FIFA ke-70 secara maya pada 18 September nanti.