LONDON: Manchester United tidak boleh membiarkan David de Gea terlalu selesa, tegas bekas penjaga gol Red Devils, Mark Bosnich.
Sejak akhir-akhir ini prestasi De Gea dikritik, terutama selepas mempamer aksi goyah ketika United tewas 1-3 kepada Chelsea dalam separuh akhir Piala FA, 20 Julai lalu.
Pengurus pasukan, Ole Gunnar Solskjaer bagaimanapun tetap memberi kepercayaan kepada penjaga gol Sepanyol itu dalam aksi penutup Liga Perdana Inggeris menentang Leicester City, 26 Julai lalu.
Dia berjaya menghalang gawangnya daripada dibolosi dengan membantu United menang 2-0, sekali gus membawa mereka ke Liga Juara-Juara musim depan.
“Saya percaya dia akan kembali (membuktikan kemampuan).
“Dia telah beraksi cemerlang untuk tempoh yang lama, cuma akhir-akhir ini aksinya tidak konsisten.
“United tidak boleh biarkan dia terlalu selesa.
“Kalau dia gagal beraksi baik, turunkan pemain lain dalam aksi seterusnya. Itu akan menghadirkan persaingan.
“Kalau mereka memilih untuk kekal menggunakan De Gea, saya cadang United mendapatkan penjaga gol muda yang mampu memberi cabaran,” kata Bosnich kepada Sky Sports. – AGENSI