LONDON: Philippe Coutinho mengintai peluang kembali dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), namun bukan ke pangkuan bekas kelab kesayangannya, Liverpool.
Ejen bintang tengah Brazil itu, Kia Joorabchian mengesahkan, Coutinho mungkin menyertai kelab London, Arsenal atau Tottenham.
“Memandangkan Liga Juara-Juara masih berlangsung sehingga 23 Ogos, sukar buat Coutinho membuat komitmen baharu atau berpindah sehingga tarikh itu tiba.
“Selepas tamat saingan Eropah, ia bukan lagi rahsia dia mahu kembali ke Liga Perdana. Dia gembira di England dan dipuja ketika di sana. EPL adalah keutamaannya,” kata Joorabchian kepada TalkSPORT.
Laporan sebelum ini mengatakan pemain Barcelona itu makin hampir menandatangani salah satu daripada kelab Inggeris iaitu Arsenal, Leicester City atau Tottenham pada musim panas ini.
“Terdapat minat terhadap Philippe kerana dia seorang pemain yang hebat.
“Kami menunggu sehingga musim tamat sebelum memulakan rundingan,” kata Joorabchian.
Perancang tengah berusia 28 tahun itu mencipta nama di England ketika menyarung jersi Liverpool dari 2013 hingga 2018.
Kariernya agak tenggelam selepas berhijrah ke Barcelona pada 2018, sebelum dipinjamkan kepada kelab Jerman, Bayern tahun lalu. – AGENSI