MILAN: Empat hari selepas mengesahkan gelaran Serie A kesembilan berturut-turut liga, Juventus dimalukan pasukan tangga ke-13, Cagliari 2-0 dalam saingan bola sepak Itali, awal pagi tadi.
Luca Gagliano membuka jaringan Cagliari lapan minit selepas bermain buat kali pertama dalam Serie A dengan menewaskan penjaga gol berpengalaman Juventus, Gianluigi Buffon.
Penyerang Itali berusia 20 tahun itu turut mencipta gerakan untuk gol kedua yang disempurnakan Giovanni Simeone pada penghujung babak pertama, sekali gus memberi kemenangan pertama buat Cagliari ke atas Juventus dalam tempoh 11 tahun.
Dalam perkembangan sama, Cristiano Ronaldo terlepas peluang untuk mengejar penjaring terbanyak Serie A, Ciro Immobile.
Pemain Portugal itu kini ketinggalan empat gol di belakang penyerang Lazio, yang mengumpul 35 gol berbaki satu perlawanan.
Dalam aksi di Sardegna Arena, jaringan Ronaldo dibatalkan kerana ofsaid selepas 16 minit perlawanan bermula dan dua kali percubaannya dinafikan oleh penjaga gol Cagliari, Alessio Cragno.
Persembahan anak-anak buah Maurizio Sarri itu amat membimbangkan dan mereka
hanya menang dua daripada tujuh perlawanan terakhir.
Penyerang Juventus, Paulo Dybala dan Douglas Costa bergelut untuk mengembalikan kecergasan menjelang saingan Liga Juara-Juara berdepan Lyon pada 7 Ogos di Turin.
Juventus menanti kedangan Lyon selepas tewas 1-0 dalam perlawanan pertama. – AFP