MADRID: Biarpun sering disisihkan dan tidak mempunyai hubungan baik dengan penyokong Real Madrid, namun Gareth Bale tidak akan meninggalkan Santiago Bernabeu.
Ejen bintang Wales itu, Jonathan Barnett berkata, Bale gembira dengan kehidupan di Madrid dan mahu tinggal di Sepanyol sekurang-kurangnya untuk dua tahun lagi.
Pendedahan Barnett hadir ketika ramai yang sedang bercakap tentang tindakan pengurus Real, Zinedine Zidane ‘membekukan’ bekas bintang Tottenham itu sejak beberapa minggu lalu.
Bale, 31, sekadar memanaskan bangku simpanan sejak La Liga bersambung pada awal Jun lalu selepas direhatkan tiga bulan akibat pandemik Covid-19.
Tindak tanduknya di bangku simpanan menimbulkan rasa kurang senang penyokong Real apabila dia dilihat berpura-pura tidur kerana kebosanan, malah Bale tidak langsung disenaraikan dalam aksi terakhir liga, Ahad lalu.
“Gareth baik-baik sahaja. Dia ada baki dua tahun kontrak (bersama Real).
“Dia seronok tinggal di Madrid dan tidak akan ke mana-mana,” kata Barnett kepada BBC Sport. – AGENSI