KUALA LUMPUR: Walaupun memiliki perwatakan sederhana dan tidak banyak bercakap, namun tiap kali memakai lilitan kapten, karakter Baddrol Bakhtiar bertukar menjadi seorang yang amat berkarimas dan meniupkan api perjuangan kepada setiap pemain.
Perkara itu diakui pemain sayap Selangor, Syazwan Zainon, yang menjelaskan Baddrol antara pemain yang sanjunginya ketika dia beraksi bersama Kedah pada 2013 hingga 2018.
Bukan setakat memiliki kualiti semula jadi sebagai ketua pasukan, malah pemain tengah Kedah itu mempunyai sepakan teknikal yang tiada pada pemainm lain, terutama teknik rembatan serta hantaran.
“Baddrol sentiasa menjadi tulang belakang pasukan dan sering meniupkan kata-kata luar biasa apabila beraksi. Jika kami ketinggalan, dia tahu cara membakar semangat kebangkitan.
“Dia juga tidak kedekut ilmu kepada pemain muda. Setiap kali bermain, saya tertarik melihat kualiti yang ada pada Baddrol kerana dia boleh memberikan kejutan kepada lawan dalam situasi yang tidak diduga.
“Pertahanan lawan selalu keliru dengan cara Baddrol kerana ada kalanya dia seperti melakukan hantaran tetapi sebaliknya terus melakukan rembatan yang mampu menghasilkan jaringan.
“Dia sentiasa menghadirkan kejutan di atas padang dengan hantaran-hantaran tidak diduga.
Bagi saya Baddrol ada karakter berbeza ketika di luar dan dalam padang yang membuatkan saya memasukkannya dalam senarai Pasukan Impian Liga Malaysia,” katanya.
Menerusi formasi 4-1-4-1, Syazwan yang lebih mesra disapa Wan Karpet, memilih Farizal Marlias selaku penjaga gol, diikuti empat pemain pertahanan iaitu Fitri Omar, Fauzi Nan, Khairunnisam Sahabudin dan Rizal Ghazali.
Di bahagian tengah, Fauzi Shaari ditugaskan untuk aspek bertahan sementara Sandro da Silva, Amri Yahyah, Baddrol dan Ahmad Fakri Saarani membantu jentera serangan manakala rakan sepasukannya di Selangor, Khyril Muhymeen, bertindak selaku penyerang tunggal.