LONDON : Mikel Arteta yakin anak-anak buahnya sedang menikmati cabaran mengubah mentaliti pasukan tetapi mereka perlu memiliki motivasi untuk kejayaan jangka panjang.
Banyak pihak mempertikaikan kekuatan mental The Gunners terutama selepas tewas kepada Manchester City dan Brighton dalam saingan Liga Perdana Inggeris, bulan lalu.
Kemenangan 2-1 ke atas juara baharu liga, Liverpool dan 2-0 ke atas City di separuh akhir Piala FA membuktikan berlakunya perubahan positif di dalam pasukan.
“Saya cuba meyakinkan mereka bahawa tanpa kekuatan mental, kami tidak boleh bersaing dengan pasukan utama.
“Masih ada ruang untuk diperbaiki di dalam pasukan dan kami bersedia untuk melakukan perubahan.
“Kami memiliki pemain yang cukup dan paling penting setiap pemain gembira berada di sini.
“Jika mereka hanya beraksi untuk saya tanpa kesungguhan, perkara ini tidak akan berjaya untuk jangka panjang,” katanya.
Arteta percaya mereka kini berada di landasan tepat untuk kembali menjadi pasukan besar.
“Kami perlu memperkasakan perkara-perkara asas di dalam pasukan.
“Kadangkala ada kritikan yang adil untuk kami tetapi ada juga kritikan yang tidak berasas,” katanya. -AGENSI