KUALA LUMPUR: Isu tunggakan gaji pasukan Liga Super Kedah semakin panas apabila 23 pemain sudah membuat aduan rasmi kepada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM).
Malah, kurang sebulan sebelum Liga Malaysia (Liga M) bersambung 26 Ogos ini, PFAM mendedahkan, Kedah bukan satu-satunya pasukan yang berdepan masalah gaji.
Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata, ada ramai lagi ahlinya yang bernaung bersama pasukan Liga Super dan Liga Perdana turut dihimpit masalah serupa.
“Ya, ada pasukan lain turut berdepan isu ini (tunggakan gaji), bukan Kedah sahaja. Saya tidak boleh dedah buat masa ini tetapi ia melibatkan pasukan Liga Super dan Perdana.
“Kami sedang proses aduan 23 pemain Kedah yang tidak dibayar gaji. Laporan akan dibawa kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dalam masa terdekat.
“Perkara ini akan dibincang oleh Jawatankuasa Status FAM sebelum tindakan lanjut diambil,” kata Izham ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Isnin lalu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md. Nor mendedahkan mereka menanggung hutang lama tertunggak mencecah RM10.6 juta.
Badan bola sepak tersebut sedang berusaha keras, termasuk mengadakan rundingan dengan beberapa prospek penaja untuk menyelesaikan kemelut dalam masa terdekat.
Sementara itu, Izham turut mengingatkan pemain supaya tampil membuat laporan jika berdepan masalah dengan pasukan masing-masing agar PFAM dapat mengambil tindakan.