LONDON: Romelu Lukaku tampil lebih kurus dan cergas ketika menjalani latihan pertamanya bersama Chelsea di Cobham semalam, dan bersedia membuat impak apabila kembali dalam kancah Liga Perdana Inggeris menentang Arsenal, Ahad ini.
Penampilan penyerang Belgium itu berbeza dengan fizikalnya yang ‘berat’ dan besar ketika menyarung jersi Manchester United serta Inter Milan hingga sering menjadi mangsa kritikan.
Lukaku, 28, mengakui gembira kerana Arsenal akan menjadi lawan pertamanya apabila kembali menyarung jersi Chelsea selepas melengkapkan perpindahan bernilai 97 juta pound (RM567.08 juta) dari Inter minggu lalu.
“Saya bersedia merebut tempat dan membuktikan kepada jurulatih mengapa khidmat saya diperlukan.
“Saya jangkakan persaingan hebat untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama.
“Saya akan berdepan cabaran baharu, namun berjuang untuk satu matlamat iaitu memastikan Chelsea menang. Saya akan beri 100 peratus dalam latihan dan bersedia untuk setiap perlawanan.
“Saya gembira kerana perlawanan pertama adalah menentang Arsenal dan sudah tentu saya harap dapat bersedia sepenuhnya dan memberikan keputusan yang baik kepada pasukan,” katanya.
Lukaku membuat kepulangan kedua bersama Blues selepas menyarung jersi kelab London itu pada musim 2011 hingga 2014.
Dia bagaimanapun gagal menyinar dalam penampilan sulung bersama Chelsea, sebelum dijual kepada Everton pada 2014.
Dia kemudian menyertai United sebelum dibeli oleh Inter dan dia cemerlang di kelab tersebut dengan membantu pasukan memenangi kejuaraan Serie A sejak 11 tahun lalu. – AGENSI