Buntu suami mahu buat rumah terbuka

Buntu suami mahu buat rumah terbuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOALAN:

Suami merancang mengadakan rumah terbuka, tetapi saya kurang bersetuju kerana masalah kewangan. Saya juga malu jika jiran-jiran mengadakan rumah terbuka sedangkan kami tidak buat. Segan rasanya nak menjamu orang dengan hidangan bajet. Suami tak kisah, asalkan ikhlas.
-Yang Buntu.

JAWAPAN:
Mengadakan rumah terbuka bukanlah suatu kewajipan untuk menyambut perayaan. Ia merupakan adat dan budaya masyarakat kini. Jika diperhalusi konsep rumah terbuka, ia bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dengan menziarahi, meraikan dan berkongsi rezeki dengan keluarga, jiran, sanak saudara serta sahabat handai. Bagaimanapun, tidak semua mampu untuk mengadakan rumah terbuka berikutan desakan ekonomi.
Tanya diri puan adakah rumah terbuka itu suatu keperluan atau keinginan semata? Saya kongsikan tip untuk membantu puan membuat keputusan dengan bijak.

-Perbincangan : Nyatakan kebimbangan kepada pasangan. Jelaskan kekangan kewangan yang dihadapi dan mengapa puan tidak selesa dengan idea rumah terbuka.

-Fokus keselesaan diri : Jangan biarkan tekanan luaran mempengaruhi fizikal dan mental puan. Keselesaan dan kestabilan kewangan adalah lebih penting daripada memenuhi keinginan yang boleh ditangguhkan.

-Berunding dengan jiran : Puan mungkin boleh berbincang dengan jiran secara peribadi. Mungkin mereka lebih memahami situasi dan menghargai kejujuran puan. Selain itu, boleh juga mempelawa mereka untuk berkongsi mengadakan rumah terbuka di masa akan datang.

-Pengurusan kewangan : Cuba susun bajet dengan bijak. Kenal pasti kos yang dapat dikurangkan. Mungkin puan boleh memilih hidangan lebih sederhana atau bajet dan pastikan sedap serta memuaskan.

-Ikhlaskan diri : Fokus pada niat baik dan keikhlasan untuk menyambut tetamu. Pastikan ia tidak menjejaskan keselesaan dan keadaan kewangan puan sekeluarga.

-Perancangan : Puan dan suami boleh membuat perancangan lebih awal di masa hadapan jika ingin mengadakan rumah terbuka. Ia akan memudahkan puan membuat persediaan dengan lebih baik tanpa memberi tekanan kewangan.

Kebahagian dan kestabilan kewangan adalah lebih penting daripada mengikut trend dan keperluan sosial.

Jangan terlalu membebankan diri dan keluarga untuk mengikut cara orang lain. Yang penting, fokus kepada penyelesaian yang terbaik untuk puan sekeluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN