SOALAN
Saya mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun dan sangat aktif. Kadangkala saya memberi anak telefon agar anak boleh duduk diam. Namun apabila saya mengambil telefon tersebut anak mulai bersikap agresif dan marah-marah. Adakah saya boleh memberi telefon kepada anak dan bagaimana untuk mengatasi anak aktif?
Ibu buntu
Jawapan
Lumrah kanak-kanak suka bermain, berlari-lari dan tidak mahu duduk diam. Sukar juga mengawal apabila berada di tempat awam. Bila dinasihati, tidak dengar. Nak dimarahi, malu dengan orang sekeliling. Bila tidak marah, makin menjadi pula perangai mereka.
Lantaran itu, ibu bapa memilih untuk memberi telefon bagi memastikan anak duduk diam. Namun, lain pula berlaku apabila anak mula seronok sehingga ada dalam kalangan mereka mula ketagihan, bersikap kasar dan memberontak apabila gajet diambil daripada mereka.
Adakah boleh memberi gajet kepada anak-anak?
Jawapanya bergantung pada pilihan ibu bapa itu sendiri, tetapi memberi telefon supaya dapat mendiamkan anak adalah tidak bersesuaian.
Mereka yang memilih untuk tidak memberi telefon, haruslah menyediakan aktiviti bersesuian untuk anak.
Namun sekiranya ibu bapa memilih untuk memberi gajet, mereka perlu mengikuti beberapa langkah ini seperti:
– Hadkan masa untuk anak melihat skrin telefon sekurang-kurangnya sejam
sehari.
-Ibu perlu berada disisi anak-anak untuk memantau apa yang ditonton dan sedia menjelaskan dan menjawab soalan mereka.
-Anak dibenarkan bermain gajet pada tempat yang sesuai. Duduk pada postur yang elok dan jarak dengan skrin selamat. Tidak boleh bermain sambal berbaring atas katil atau sofa.
Bagaimana untuk mengatasi anak aktif?
Beri penjelasan secara konsisten: Anak aktif memerlukan peraturan jelas, berterusan dan tegas. Contoh waktu tidur. Apabila tiba waktu tidur, anak-anak perlu tidur walaupun mereka masih aktif bermain atau menonton tv.
Beri sentuhan: Sentuhan seperti memeluk, mencium anak akan memberi ketenangan dan perasaan selamat kepada anak-anak dan ia dapat mengurangkan sikap agresif.
Memberi sokongan: Beri peluang untuk anak mencuba sesuatu seperti menuang air, makan sendiri dengan sedikit pengawasan supaya anak berasa berkeyakinan diri dan dihargai.
Beri mainan yang mencabar fizikal seperti clay atau lego sebagai altenatif membantu anak menyalurkan sikap aktif anak anda melalui permainan.
Beri pujian: Apabila anak bersikap baik di rumah, beri pujian. Pujian, membantu emosi anak menjadi lebih baik.
Kekal dengan rutin struktur: Cipta satu rutin setiap hari. Wujudkan rutin tertentu semasa di rumah seperti waktu makan, bermain dan tidur. Contohnya, minta anak meletakkan pinggang selepas selesai makan dalam sinki.
Elakkan daripada menggunakan telefon sebagai cara untuk mereka duduk diam dan menganggu ibu bapa kerana anak-kanak perlu aktif untuk belajar meneroka dan bertanya kemusykilan mereka.