Makna dan pengertian Ramadan berbeza kepada setiap orang. Selain menahan lapar, dahaga dan nafsu serta beragam keinginan, ia juga mengajar erti kesyukuran dan keagungan Allah SWT.
Minggu ini saya kongsikan kisah Saleha (bukan nama sebenar) yang mengakui kehadiran Ramadan lebih banyak mengajarnya erti kesabaran dan keinsafan.
Dia yang diuji menjaga suami sakit selama hampir lima tahun tabah dengan dugaan. Kisah Saleha agak berbeza dengan isteri-isteri lain yang sebelum ini menjaga suami terlantar sakit.
Ini kerana dia bukan sahaja terpaksa mengurus suami sakit tetapi juga diamanah menjaga anak hasil perkahwinan rahsia lelaki itu. Bagaimanapun suaminya, Khalid (bukan nama sebenar) menghembuskan nafas terakhir pada hari ke 10 terakhir Ramadan tahun lalu.
Akui Saleha, selepas pelbagai ujian dilalui ia banyak mengajar dirinya menjadi manusia yang lebih reda dengan ketentuan dan takdir Allah SWT.
Menceritakan kisah hidupnya, Saleha berkata, segala-galanya bermula selepas suami ditimpa kemalangan jalan raya kira-kira enam tahun lalu. Mengimbas detik malang sehingga menyebabkan suami koma selama dua minggu itu, ketika itu suami dalam perjalanan menghantar kedua ibu bapanya pulang ke kampung.
Tragedi hari pertama umat Islam berpuasa itu, turut meragut nyawa ibu dan bapa mentuanya. Paling mengejutkan ia turut membongkar rahsia suaminya beristeri dua.
“Hari itu baru saya tahu dia berkahwin seorang lagi dan mempunyai seorang anak,” cerita Saleha.
Dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, suaminya yang bertugas sebagai pegawai di salah sebuah agensi kerajaan itu, cedera parah apabila kenderaan yang dipandu isteri keduanya, hilang kawalan sebelum bertembung sebuah lori pasir.
Kejadian itu turut menyebabkan isteri kedua suami meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
Saleha berkata, dia pada mulanya mengetahui suaminya ditimpa kecelakaan jalan raya melalui rakan sebelum dimaklumkan oleh polis. Ketika itu hanya Allah yang tahu bagaimana perasaannya sebaik dimaklumkan tentang kemalangan itu sehinggalah suami kembali dibawa pulang semula ke rumah.
“Saya benar-benar terkejut dan masih tidak percaya suami terlibat kemalangan bersama kedua ibu bapa dan wanita lain.
“Bahkan bagaimana saya masih boleh menerima lelaki yang selama ini curang dengan saya,” luahnya.
Akui Saleha, kehidupan mereka suami isteri berubah selepas kemalangan itu. Perasaan cinta kepada lelaki itu bagai sudah hilang dalam dirinya.
Pada awalnya, Saleha gagal mengawal perasaan marah dan benci terhadap suami atas perbuatannya itu namun selepas melihat keadaan lelaki itu, perasaan simpati dan sayang muncul kembali.
“Suami sudah tiada sesiapa di dunia, kecuali saya sebagai isteri, anak-anak serta anak kecil hasil perkahwinan keduanya,” ujar Saleha.
Mengubat jiwa, Saleha lebih banyak mendekatkan diri kepada Allah. Kata Saleha, bukan mudah untuk menerima perbuatan suami terhadapnya.
Bagi Saleha, mereka memiliki keluarga yang sempurna dan bahagia. Dua anak mereka, Arif dan Damia, masing-masing berusia tujuh dan lima tahun sangat bijak dan comel.
Walaupun sibuk dengan tugas hakiki sebagai seorang guru, Saleha berusaha menguruskan rumah tangga dengan sebaiknya. Rasanya, tidak ada sebab suami untuk curang dengannya.
Namun setelah muhasabah diri, dia pasrah dan reda setiap yang ditentukan Allah ada hikmah disebaliknya. Bagi Saleha untuk apa dia mengungkit perkara yang lepas. Isteri kedua suaminya juga telah meninggal dunia.
Sepanjang tempoh menjaga suami sakit, Saleha sentiasa berusaha untuk melihat kebaikan-kebaikan suami sepanjang lapan tahun mereka hidup bersama.
Berkat 10 hari terakhir Ramadan ketika itu, Saleha memilih untuk memaafkan suami dan mempertahankan rumah tangga demi anak-anak. Menurut Saleha dia juga manusia biasa. Ragu dalam setiap apa yang dilakukan pada awalnya. Namun dia percaya Allah sentiasa berada bersama-samanya.
Bermula hari itu dia nekad menjaga dan menguruskan suami serta anak tirinya, Danish (bukan nama sebenar) yang ketika itu hanya berusia tiga bulan.
“Saya berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin.
“Memang tidak mudah, tekanan tetap ada. Tapi nak tak nak, kena hadap juga,” luahnya.
Akui Saleha bila dia rasa sedih dan putus asa, tetapi dia hanya mampu berdoa. Dia percaya bahawa Allah ingin meningkatkan darjat seseorang bila diuji dengan ujian demi ujian.
Saleha juga bersyukur kerana orang-orang di sekelilingnya terutama ibu bapa dan adik-beradiknya sentiasa memberi semangat.
Pengorbanan dan ketabahan Saleha dalam menjaga suami bukan sedikit. Daripada terlantar, boleh berjalan dan bertutur sehinggalah detik akhir perjalanan suaminya, Saleha tetap disisi.
Suami tiba-tiba alami kekejangan otot ketika mereka sama-sama menanti untuk berbuka puasa. Selepas dihantar ke hospital, selang beberapa jam suami disahkan meninggal dunia .
Dua hari sebelum dijemput Ilahi, suami sempat berpesan kepadanya. Suami benar-benar meminta maaf kerana menduakannya dan meminta agar menjaga anak tiri seperti anaknya sendiri.
“Saya akui ada masanya apa yang dilalui buatkan saya lemah dan hampir tersungkur.
“Namun bila mempunyai kepercayaan yang kukuh bahawa setiap kejadian dan perkara itu ditentukan oleh Allah SWT, saya mampu bangkit menanganinya,” ujarnya mengakhiri perbualan lewat petang itu.
Saleha percaya bahawa Allah tidak akan menguji hambaNya melebihi kemampuan seseorang.
Sebagaimana Firman Allah SWT bermaksud: Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. (Al Baqarah:286).