Ramadan gamit kerinduan pada anak-anak - Utusan Malaysia

Ramadan gamit kerinduan pada anak-anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap kali menyambut Ramadan ibu menjadi orang yang paling sibuk.Ibu akan menyediakan pelbagai juadah sambil menanti kepulangan anak-anak untuk berbuka bersama.

Pun begitu, bukan semua dapat menikmati saat-saat manis berkumpul bersama keluarga.

Ada antara mereka terpaksa bersendirian menjalani ibadah puasa, tanpa anak-anak atas pelbagai faktor.

Minggu ini saya kongsikan kisah Siah, (bukan nama sebenar) seorang ibu yang terputus hubungan dengan dua anaknya sejak 15 tahun lalu.

Siah yang saya temui baru-baru ini mengakui setiap kali Ramadan, dia terkenang dan terlalu rindukan anak-anaknya.

Siah berkata dua anaknya, Atira ketika itu berusia tujuh tahun manakala Ikbal berusia lima tahun dibawa bekas suami pada Ramadan kelima tahun 2008.

Menceritakan kisah lalu, Siah dan suami, Hamdan (bukan nama sebenar) berkenalan pada pertengahan tahun 2000. Ketika itu Siah baru sahaja tamat tingkatan lima.

Tiga bulan mengenali hati budi, memasuki bulan keempat disatukan.

Ketika itu Hamdan seorang guru baru yang berasal dari Semenanjung. Hamdan mengajar di sekolah rendah di kampung Siah di Tawau, Sabah.

Sangka Siah, perkahwinan yang berlandaskan cinta itu akan kekal bersama hingga hujung hayat.

Namun langit, tidak selalu cerah.

Sedang enak mengulit bahagia bersama suami dan dua anak yang comel, hidup mereka diuji selepas Siah ditimpa kemalangan jalan raya.

Peristiwa sehari sebelum sambutan Ramadan itu merupakan detik hitam yang mengubah hidup Siah.

Ketika itu dia dalam perjalanan mengambil anak sulungnya dari sekolah.

Disebabkan kemalangan itu, kaki Siah terpaksa dipotong.

Pergerakannya terbatas dan hanya mampu mengengsot untuk bergerak.

Sepanjang tempoh itu, suamilah yang diharap menguruskan rumah dan menyiapkan keperluan dua anak mereka.

Nasib Siah bagaikan jatuh ditimpa tangga.

Siah diuji lagi setahun selepas itu apabila suami mengambil keputusan untuk berpisah.

Sepanjang tempoh Siah terlantar sakit, Hamdan kelihatan baik dan berjanji menempuh dugaan bersama.

Berkorban masa dan wang menjaga Siah.

Tidak lama selepas itu, perubahan diri Hamdan mula dirasakan. Hamdan sudah mula berkira soal membantu Siah.

Banyak perkara diungkitnya seperti tanggungjawab Siah sebagai isteri yang tidak dapat disempurnakan lagi.

Akhirnya, pada Ramadan ketiga setahun kemudian, Hamdan melafazkan talak satu kepada Siah.

Kurang sebulan selepas berpisah, bekas suami dikhabarkan berkahwin dengan wanita pilihan keluarga.

Dunianya bagai gelap seketika selepas lelaki dicintai itu sanggup meninggalkannya.

Lebih membuat hatinya terluka apabila bekas suami berkeras membawa anak-anak bersama.

Walaupun sedih terpaksa berpisah dengan anak-anak yang masih kecil, selepas memikirkan keadaannya yang sudah tidak mampu menguruskan keluarga, Siah pasrah.

Dia tiada pilihan lain selain menyerahkan anak-anak di bawah jagaan bekas suami dan isteri barunya.

Siah reda dengan ketentuan jodohnya. Namun terkilan kerana sehingga ke hari ini bekas suami tidak menunaikan janji untuk mempertemukannya dengan anak-anak.

Hanya Allah tahu betapa luluh hati dan perasaan apabila bekas suami sanggup memisahkan mereka dengan ibu kandung.

Ketika semua keupayaan fizikal dan mentalnya ditarik dalam sekelip mata, Siah cuba kekal positif meneruskan kehidupan di bawah jagaan kakaknya.

Sepanjang tempoh itu anak-anak saudaralah menjadi tempat Siah melepas rindu kepada Atira dan Ikbal.

Selepas hampir dua tahun memulihkan kembali semangat, atas bantuan abang ipar, Siah mengaktifkan diri dan menyertai pusat pemulihan orang kurang upaya.

Selepas hampir tiga tahun di situ, Siah mula mendapat kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

Dia bukan sahaja mahir dalam jahitan tetapi juga kraftangan.

Setahun selepas itu Siah berjaya membuka kedai jahit. Dua tahun berikutnya membuka butik pakaian.

Siah berjaya membuktikan walau dalam apa juga keadaan, kejayaan boleh dicapai dengan kecekalan dan minda yang positif.

Dalam mengecapi kejayaan, dia tidak pernah lupa dan tetap berharap bekas suami membawa anak-anak berjumpa dengannya.

Sehari, seminggu, sebulan sehinggalah sedekad lamanya dia terus menanti kepulangan anak-anaknya, namun sia-sia.

Jangankan bertanya khabar, berharap bekas suami muncul membawa anak-anak bertemu dengannya jauh sekali.

Hanya sejak empat tahun kebelakangan ini dia cuba untuk mencari anak-anaknya.

Bagaimanapun agak mengecewakan apabila dimaklumkan suami telah berhenti kerja dan pulang ke Semenanjung.

Kini setelah hampir 15 tahun berlalu. Namun kerinduan kepada anak-anak tidak pernah luntur.

Jika dihitung waktu, pasti anak-anaknya telah meningkat dewasa.

Sebelum mengakhiri perbualan Siah sempat menitip nasihat kepada para isteri, walaupun sudah berkeluarga, mempunyai suami dan anak-anak, mereka tidak sewajarnya mengasingkan diri dari dunia luar.

Sebagaimana dirinya, sejak berkahwin dengan Hamdan, bukan sahaja kawan-kawan, adik beradik juga dijauhi.

Siah bersyukur walaupun dia pernah mengasingkan diri daripada keluarga, sampai masa susah dan berdepan ujian, darah daging jugalah setia di sisi.

Akui Siah, dia juga tidak pernah berhenti berdoa terutama di bulan Ramadan yang penuh kemuliaan ini agar satu hari nanti akan dipertemukan dengan anak-anaknya.

Siah yakin doa orang-orang yang berpuasa adalah mustajab.

Sesungguhnya, Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan dan Rahmat daripada Allah SWT.

Di samping itu, di dalamnya tersedia pelbagai tawaran dan keistimewaan.

Terdapat beberapa hadis menceritakan antaranya, daripada Abdullah bin Amr RA berkata bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, maksudnya:

Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka doa yang tidak akan tertolak. (Riwayat Ibn Majah, 1753).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya