Setiap insan pasti mengharapkan kebahagiaan di sebalik sebuah perkahwinan. Bahtera rumahtangga umpama istana bahagia yang diharapkan berkekalan mengiringi perjalanan hidup sehingga ke hujung usia.
Pun begitu, hari esok bukan kita yang menentukan. Semuanya berada dalam genggaman Yang Maha Esa.
Demikian perjalanan hidup yang terpaksa dilalui oleh Nisa (bukan nama sebenar), kisah yang saya kongsikan minggu ini.
Belum sempat Nisa mengenali erti kebahagiaan sebenar, dia terpaksa menerima hakikat kehilangan yang tidak pernah terduga olehnya.
Tragedi hitam yang menimpa lebih 12 tahun lalu sehingga kini masih membekas di hatinya.
Zaimi (bukan nama sebenar) yang diharap akan menjadi teman sehingga ke hujung usia rupanya hanya pinjaman untuk seketika waktu cuma.
Dua belas tahun lalu, dengan sekali lafaz, Zaimi sah bergelar suami kepada Nisa. Saat itu, Nisa merasakan persis melangkah masuk ke istana bahagia yang selama ini menjadi dambaannya.
Segalanya berjalan lancar. Nisa yang ketika itu berusia 24 tahun dan Zaimi, 26 tahun diraikan sebagai raja sehari dengan cukup meriah oleh sanak saudara dan sahabat handai.
Nisa ketika itu bertugas sebagai Pegawai Sumber Manusia di sebuah syarikat perumahan, manakala Zaimi pula bertugas sebagai Pegawai Pemasaran di sebuah syarikat pembekal barangan makmal.
Kuala Lumpur menjadi saksi perkenalan dan akhirnya menyatukan mereka di pelaminan cinta yang diharap berkekalan selamanya.
Selepas hampir dua minggu bercuti, Nisa dan Zaimi kembali ke ibu kota untuk meneruskan tugasan masing-masing.
Waima kedua-dua mereka sebelumnya telah menetap di ibu kota yang sering disinonimkan dengan resah dan gelisah penghuninya, namun kali ini Kuala Lumpur terasa cukup indah.
Kotaraya ‘macet’ yang mempertemukan mereka suatu ketika dahulu kini menjadi destinasi indah untuk melayari hidup bersama selepas bergelar suami isteri.
Namun, tiada siapa yang mampu menelaah takdir. Belum hilang merah inai di jari, Nisa diduga dengan kehilangan yang tidak pernah terfikir dimindanya.
Apatah lagi ketika itu, dirinya baru sahaja mengenal nikmat bergelar seorang isteri. Lembayung hidup berumahtangga masih sarat dengan warna keindahan yang selama ini menjadi dambaannya.
Sebulan selepas kembali bertugas, Zaimi dihantar ke Ipoh untuk bertemu pelanggan. Sebagai Pegawai Pemasaran, menjadi kebiasaan bagi Zaimi bertugas ke luar daerah.
Selepas selesai urusan dengan pelanggan, Zaimi segera memandu pulang ke ibu kota.
Malang tidak berbau. Ketika dalam perjalanan pulang Zaimi terlibat dalam kecelakaan jalan raya. Kereta yang dipandu Zaimi merempuh sebuah lori yang terbabas di Lebuh Raya Utara Selatan.
CEDERA PARAH
Zaimi mengalami kecederaan parah dan tidak sedar diri. Zaimi dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan terpaksa menjalani beberapa pembedahan untuk menyelamatkan nyawanya. Zaimi koma.
Ketika itu, hanya air mata menemani Nisa, biarpun sanak saudara dan sahabat handai sentiasa ada di samping untuk memberikan sokongan dan semangat.
Nisa tidak putus-putus berdoa agar Zaimi kembali sedar dan diberikan kesembuhan oleh-Nya.
Bagi Nisa hanya Allah sahaja yang mampu menyelamatkan Zaimi.
Nisa menggantungkan segala harapan kepada-Nya agar diberikan ruang untuk terus melayari hidup bersama Zaimi. Terlalu awal rasanya untuk berpisah dengan insan yang baru sebulan lebih bergelar suami.
Namun ketentuan Allah tiada siapa yang mampu mengubahnya. Setelah hampir empat bulan
Zaimi terlantar di wad ICU, akhirnya Zaimi menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan koma.
Dunia ketika itu terasa kosong. Semangatnya sirna. Separuh hidupnya terasa telah pergi bersama Zaimi.
Nisa merasakan dunia terlalu kejam. Baharu sahaja dia mengenal erti kebahagiaan hidup bergelar isteri, segalanya bagai direnggut dalam sekelip mata.
Setahun berlalu, Nisa masih belum mampu mengikis kedukaan dan kesedihan lantaran kehilangan insan tercinta terus bersarang di lubuk hatinya.
Kini 12 tahun berlalu. Namun bagi Nisa ia seperti baru semalam berlaku. Justeru sehingga kini Nisa masih bersendirian dan tidak pernah terbuka hatinya untuk mencari pengganti Zaimi.
Sepanjang bersendirian, bukan tiada yang mendekatinya untuk menjadi pengganti. Tapi ujar Nisa, hatinya masih tidak mampu untuk menerima kehadiran insan lain.
Bukan bermaksud menyanggah takdir yang tertulis, tetapi cintanya terhadap Zaimi hingga kini masih membara. Walaupun sedar Zaimi tidak akan kembali lagi, tetapi hatinya masih sukar menerima insan lain.
Apa pun ujar Nisa pasrah. Andai memang tersurat ada jodoh lain selepas Zaimi, dia tidak akan menolak.
Dalam masa sama Nisa juga reda andai ditakdirkan bersendirian sehingga habis usia tanpa seorang bergelar suami di sisi. Mungkin di akhirat kelak Allah akan menyatukan mereka kembali.
Ujar Nisa walaupun pada awalnya sukar tetapi kini dirinya telah mampu menerima hakikat apa yang berlaku. Nisa yakin ada sejuta hikmah di sebalik ujian yang Allah takdirkan kepadanya.
Namun setiap kali merentasi lebuh raya untuk pulang ke kampung di utara tanah air atau terdengar alunan lagu Pusara Di Lebuh Raya nyanyian kumpulan Ekamatra, air matanya pasti membasahi pipi.
Hatinya bagaimanapun tenang apabila membaca firman Allah SWT: Dan boleh jadi kamu tidak menyukai kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui. (al-Baqarah: 216)