Kehidupan adalah satu ujian. Allah SWT menegaskan bahawa setiap insan akan diuji semasa hayat mereka di dunia ini.
Pun begitu, ujian bagi setiap daripada kita adalah berbeza bentuknya. Ada yang diuji dengan kesusahan dan kesedihan yang memeritkan. Ada yang diuji dengan kesenangan dan kekayaan yang bisa melalaikan.
Harus diingat bahawa Allah itu Maha Adil dan Dia akan memberi ujian sesuai dengan kesanggupan dan kekuatan setiap hamba-Nya.
Dalam masa sama kita juga wajar sentiasa menginsafi betapa ujian itu adalah ‘ruang dan peluang’ untuk kita meningkatkan darjat diri di sisi Allah.
Maka beruntunglah bagi sesiapa yang mampu menghadapi segala ujian dengan sabar, tabah dan reda.
Demikian juga dengan Sarimah (bukan nama sebenar) yang akan saya kongsikan kisahnya minggu ini.
Sarimah terpaksa berdepan ujian mengalas tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada adik-adiknya selepas kematian orang tua mereka.
Sarimah anak sulung daripada lima beradik sentiasa memegang amanah arwah ibunya untuk menjaga adik istimewanya.
Walaupun telah berkahwin, demi menunaikan tanggungjawab terhadap adik-adiknya, Sarimah terpaksa tinggal berasingan dengan suami.
Bukan mendahulukan adik-adik berbanding suami, tetapi mengenangkan tiada siapa yang menjaga darah dagingnya, Sarimah terpaksa berkorban.
Mujur suaminya memahami dan merestui hasrat Sarimah untuk menjaga adik-adiknya itu.
Sebelum meninggal dunia, ibunya yang menderita kencing manis meninggalkan pesanan kepadanya dan suami, Zailan (bukan nama sebenar) untuk menjaga empat adik-adiknya terutama adik ketiganya, Salwa (bukan nama sebenar) yang merupakan orang kurang upaya (OKU).
Sejak kematian ibu, dia yang ketika itu mempunyai dua anak pulang ke kampung halamannya di Temerloh, Pahang bagi menjaga adik-adiknya.
Pemergian ibunya menyebabkan adik-adiknya kehilangan tempat bergantung. Apatah lagi, bapanya telah lama meninggal dunia iaitu ketika Sarimah baru mendirikan rumah tangga. Justeru,
Sarimah merasakan dia harus mengambil tanggungjawab menjaga adik-adik.
Lebih-lebih lagi mengenangkan adiknya yang OKU, Sarimah sanggup berkorban demi memastikan darah dagingnya itu terurus dan diberi perhatian sewajarnya.
Sarimah sedikit beruntung kerana Zailan bertimbang rasa dan bersedia menerima adik-adiknya. Demi memastikan adik-adiknya yang masih bersekolah terbela, Sarimah dan Zailan sanggup berkorban dan menerima kenyataan untuk tinggal berjauhan.
Ini kerana Zailan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ketika itu bertugas di Gambang. Jarak antara Temerloh dan Gambang yang agak jauh menyukarkan Zailan untuk berulang-alik ke tempat kerjanya.
Situasi sedemikian memaksa Sarimah dan Zailan menjadi ‘suami isteri hujung minggu’.
Zailan terpaksa tinggal di Gambang dan hanya pulang ke Temerloh pada hujung minggu atau ketika dia bercuti.
Waima jarak dan tanggungjawab memisahkan mereka, ia tidak sedikitpun melunturkan kasih sayang Sarimah dan Zailan sebagai suami isteri. Sarimah dan suami sepakat serta berjanji untuk sama-sama mengharungi dugaan tersebut.
Antara mereka nekad untuk sentiasa bersama menempuh suka dan duka serta mempertahankan hubungan walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Demikian situasi yang terpaksa dilalui oleh Sarimah dan Zailan.
Akui Sarimah, bukan senang menjaga anak berstatus OKU. Sifat sabar yang tinggi adalah kunci utama untuk menguruskan adiknya itu.
MENATANG MINYAK YANG PENUH
Sarimah menatang Salwa, yang cacat pendengaran dan pertuturan sejak lahir selain mengalami kecacatan mental seperti minyak yang penuh.
Di mata Sarimah, adiknya itu amat istimewa dan berasa dirinya bertuah kerana terpilih untuk memiliki dan menjaga insan istimewa tersebut.
Ini kerana, bagi Sarimah di sebalik cabaran untuk menjaga dan menguruskan adik istimewa, banyak iktibar dan perkara yang dapat dia pelajari.
Justeru ujar Sarimah, sesiapa yang ‘dipilih’ untuk menjaga insan istimewa atau OKU seharusnya reda dan bersyukur. Mereka tidak perlu merasa malu apabila mempunyai ahli keluarga OKU.
Sebaliknya, mereka perlu bersyukur kerana dipilih untuk melaksanakan amanah daripada Allah SWT.
Ujar Sarimah, tidak semua dari kita yang terpilih untuk mendapat ‘anugerah’ ini. Lantaran itu, apabila Allah SWT memilih kita untuk menyantuni insan istimewa, pasti ada hikmahnya.
Malah jika kita reda dan ikhlas menerima tanggungjawab tersebut, tentu ia tidak akan disia-siakan oleh Allah.
Bahkan, pasti ada ganjaran istimewa menunggu mereka khususnya apabila kita semua kembali ke negeri abadi.
Oleh itu, ujar Sarimah, apa yang dilakukan perlulah berpaksikan matlamat untuk mendapat keredaan Allah SWT, bukan pengiktirafan manusia.
Jika kepada orang lain kita mampu menghulurkan kebaikan, kenapa tidak kepada ahli keluarga dan darah daging sendiri. Bersifat ihsan sesama insan, terutama kepada ahli keluarga sendiri sudah tentu akan mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT.
Justeru, apa yang dilalui Sarimah bukan sekadar ujian. Malah ia adalah peluang diberikan oleh Allah SWT kepadanya untuk meraih sejuta ganjaran daripada-Nya.
Kesabaran dan keikhlasan Sarimah menghadapi ujian tersebut akan menjadi asbab untuk Allah SWT mengangkat darjat wanita tersebut di sisi-Nya.
Beruntunglah Sarimah waima pada mata kita sesama insan ia umpama satu bebanan yang amat berat untuk ditanggung olehnya.
Rasulullah SAW bersabda: Orang Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya. (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)