‘Saya tak reti duduk diam’ - Utusan Malaysia

‘Saya tak reti duduk diam’

Marion Rose Counter lebih suka berniaga daripada kerja makan gaji.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bergelar suri kepada ahli perniagaan terkenal, tidak bermakna Marion Rose Counter hanya duduk goyang kaki saja.

Sebaliknya lulusan Ijazah Penyiaran dan Komunikasi Elektronik dari Amerika Syarikat (AS) ini, suka bekerja cari duit sendiri. Malah sejak tamat pengajian, beliau sudah biasa bekerja. Berbekalkan pengalaman sebagai wartawan di negara Uncle Sam itu, Marion, 42, terbabit dalam kerjaya sebagai pengacara rancangan hiburan sebaik pulang ke tanah air.

Ibu kepada tiga anak yang semakin meningkat remaja ini berkata, dia tidak tahu duduk diam tanpa bekerja. Ada saja idea difikirkan untuk bekerja tetapi sebolehnya dia cuba mengelak daripada menjadi pengacara walaupun masih banyak tawaran kerja diterimanya.

“Sejak bujang saya sudah biasa bekerja. Kekok kalau tidak berbuat apa-apa. Selepas menjadi ibu, saya lebih suka bekerja sendiri. Sekarang ini sukar nak tengok saya mengacara program sebab saya tidak mahu terikat dengan kerja.

“Saya pilih untuk berniaga sendiri kerana ia memberi saya masa untuk bersama keluarga terutama anak-anak. Bagi saya masa untuk anak-anak sangat penting kerana mereka ini sekejap saja sudah membesar. Masa mereka kecil, ibu bapa perlu berikan perhatian dan kasih sayang sepenuhnya dan sentiasa di samping mereka,” katanya kepada Seri.

Marion ditemui selepas mengacarakan program bual bicara mengenai masalah urat bersimpul, di Institut Jantung Negara (IJN), baru-baru ini.

Mengakui jarang mengacara tapi kali ini, terbuka hati untuk menerima tawaran mengacara program untuk mengingkatkan kesedaran umum, terutamanya wanita mengenai penyakit urat bersimpul atau vena verikos.

Tambah Marion lagi, buat masa ini beliau agak sibuk selepas melancarkan produk penjagaan rambutnya sendiri yang dikenali sebagai Mare sejak Jun 2022 dan produk terbaharunya, More is More.

“Saya merancang mengeluarkan lebih banyak produk khas untuk menjaga kecantikan rambut. Saya memang suka jaga rambut supaya sentiasa cantik, sihat dan lembut. Rambut adalah mahkota bagi setiap wanita, itulah sebab saya pilih untuk menerokai bidang perniagaan ini. Produk ini juga sebagai nilai tambah kepada salon rambut saya, Hair Play yang dibuka di pusat membeli-belah Publika dua tahun lalu,” katanya.

‘Nak ramping kena kerja keras’

Berusia 40-an bukan alasan membiarkan diri dimamah usia. Sebaliknya, Jelitawan ini kekal langsing seperti zamannya ketika bergelar pengacara rancangan hiburan suatu ketika dulu. Pasti ramai wanita yang cemburu melihat pinggangnya yang secekak dengan wajah bersih tanpa noda.

“Kalau nak kekal ramping, kena kerja keras. Memang susah nak jaga badan selepas bersalin, tapi saya selalu ikut suami bersenam. Dulu saya suka berlari bersama suami.

Bila sudah semakin berusia, nak lari memang sudah tak larat sangat, jadi saya jaga makan. Sebolehnya, saya kurangkan makan nasi dan roti sebab karbohidrat ini adalah punca badan cepat naik.

“Begitu juga dengan pengambilan gula, saya kurangkan makan makanan dan minuman manis. Kalau minum kopi, saya tak letak gula. Mula-mula memang pelik tapi lama-kelamaan, lidah kita sudah biasa minum tanpa gula. Gula bukan tak boleh makan langsung tapi kalau boleh kurangkan,” katanya tidak kedekut berkongsi rahsia kelangsingannya.

Pertambahan usia mendorongnya lebih berhati-hati dengan pemakanan di samping bersenam untuk kekal sihat. Tambahan pula sekarang ramai orang yang masih muda sudah mengalami pelbagai penyakit seperti diabetes dan darah tinggi yang kebanyakannya berpunca daripada gaya hidup lebih banyak duduk berbanding bergerak aktif.

Berbuka paling mencabar

Marion yang memeluk Islam sejak tahun 2010 selepas mendirikan rumahtangga berkata, waktu berbuka puasa adalah saat paling mencabar untuk mengamalkan pemakanan sihat.

“Berpuasa, cabarannya adalah bila waktu berbuka. Semua nampak sedap dan kalau boleh nak makan semua yang ada depan mata. Rasa rugi tak makan. Tambah pula kalau makan bufet di hotel atau restoran. Namun kini, bila berbuka, saya elakkan makan makanan manis-manis. Waktu sahur makan makanan tinggi fiber atau serat macam oat.

“Jangan fikir ‘sebab tak makan sepanjang hari, kita ganti apa yang kita tak makan menyebabkan kita makan apa saja yang kita nak’. Itulah yang boleh akibatkan masalah obesiti,” katanya.

Gembira layan anak

Membesarkan tiga anak berusia 12, 10 dan lapan tahun, Marion mengakui sememangnya memerlukan kesabaran yang tinggi kerana setiap anak mempunyai kerenah masing-masing.

“Anak perempuan sulung saya, Leia, sudah meningkat remaja. Memang banyak beza kerenahnya sekarang berbanding masa masih kecil. Dia moody dan lebih suka nak bersendirian atau bersama dengan kawan. Sebagai ibu, kita risau nak lepaskan dia sebab kita rasa mereka masih kecil dan perlu diawasi setiap masa.

“Anak lelaki yang kecil, Liam pula manja. Ke mana nak pergi mesti nak ajak maknya sekali. Setiap minggu ada kelas bolasepak, dia nak saya tunggu tepi padang sampai habis latihan,” katanya ketawa.

Bagaimanapun, beliau gembira melayan kerenah anak-anaknya. Baginya inilah masa terbaik bermanja dengan mereka.

“Bila dewasa, mereka akan sibuk dengan hal masing-masing. Pada masa itu, mereka lebih cenderung hendak bersama kawan-kawan sebaya.

“Buat masa ini, saya menikmati waktu yang ada. Rasa gembira bila dapat meluangkan masa bersama mereka. Kalau bekerja, tentu sukar untuk saya meluangkan masa dengan keluarga. Rugi tidak melihat mereka membesar di depan mata. Tahu-tahu mereka semakin dewasa,” katanya.

Ramadan lebih bererti

Ramadan kali ini cukup istimewa bagi Marion kerana anaknya sudah memahami makna ibadah berpuasa dan mereka mahu menyempurnakan ibadah ini bersama-sama.

“Liam sedaya upaya berpuasa terutama pada cuti hujung minggu. Walaupun lapar dan keletihan, dia tetap meneruskan berpuasa.

“Leia satu-satunya anak yang rajin bangun sahur sekitar pukul 5.15 pagi. Kadang-kadang dia lebih gemar makan sahur yang ringkas seperti bijirin atau roti.

“Liam dan Lana pula tidak mahu makan sahur tapi bangkit untuk minum air saja.

“Masa iftar mereka suka berbuka di rumah ibu mertua saya dan makan masakan Melayu,” katanya berkongsi cerita mengenai puasa anak-anaknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya