Corazon Aquino ubah sejarah Filipina - Utusan Malaysia

Corazon Aquino ubah sejarah Filipina

AQUINO berucap di hadapan himpunan orang ramai semasa demonstrasi di Manila pada 21 Ogos 1985. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAMPIR dua dekad rakyat Filipina terpaksa hidup di bawah rejim pemerintahan yang kejam, penuh penindasan dan terpalit dengan skandal rasuah.

Nama Presiden Filipina, Ferdinand Marcos menjadi mimpi ngeri buat rakyat marhaen ketika itu kerana mereka tidak bebas bersuara apatah lagi mengkritik kerajaan sesuka hati seperti zaman Facebook hari ini.

Lebih memeritkan, Presiden Filipina ke-10 itu pernah memperkenalkan Undang-Undang Tentera pada 1972 yang menekan jutaan rakyat.

Mereka dahagakan kebebasan dan perjuangan menuntut sistem pemerintahan yang diasaskan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat.

Rintihan mereka dimakbulkan Tuhan apabila Corazon Aquino berjaya mengangkat suara demokrasi dan memulihkan negara dengan landasan keadilan selepas pemerintahan diktator Marcos selama 20 tahun.

Beliau ialah Presiden wanita pertama Filipina sejak 1986 hingga 1992 yang bukan sahaja memberi harapan dalam kehidupan bernegara dengan menjamin kebebasan berpendapat serta kedaulatan rakyat, bahkan, Aquino berjaya mengubah sejarah dunia.

KEHIDUPAN AWAL

Aquino dibesarkan dalam sebuah keluarga bangsawan dari wilayah Tarlac dan mempunyai susur galur politik di Filipina.

Beliau berhijrah ke luar negara untuk menyambung pengajian di Akademi Ravenhill di Philadelphia, Amerika Syarikat (AS) dan Sekolah Convent Notre Dame serta Kolej Mount Saint Vincent di New York.

Beliau mengambil jurusan matematik dan memperoleh ijazah dalam bahasa Perancis pada 1953.

Aquino kembali ke Filipina untuk menyertai kursus undang-undang di Universiti Far Estern pada 1955.

Ketika mencecah usia 22 tahun, beliau berkahwin dengan Benigno Aquino Jr. yang ketika itu dipilih sebagai Datuk Bandar Concepcion di Tarlac.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan lima zuriat terdiri daripada empat perempuan dan seorang lelaki.

Anak perempuan bernama Maria Elena, Aurora Corazon, Victoria Eliza dan Kristina Bernadette, serta anak lelaki, Benigno III yang menjadi Presiden Filipina ke-15.

SUAMI DIBUNUH

Suami Aquino kemudian dilantik menjadi gabenor dan senator di bawah rejim pemerintahan Marcos.

Kegembiraan itu akhirnya bertukar menjadi kekecewaan apabila Benigno ditangkap, dibuang negeri dan dihukum mati.

Lebih menyedihkan apabila Benigno disumbat dalam penjara selama lapan tahun (1972-1980).

Aquino tetap setia menemani suaminya yang hidup dalam buangan pada 1980. Selepas menjalani hampir tiga tahun hukuman di AS, Benigno kembali ke Filipina pada 21 Ogos 1983.

Namun, kepulangannya itu merupakan detik mengerikan apabila ditembak di bahagian kepala sehingga mati di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila yang kemudian dinamakan sempena namanya, Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino.

Peristiwa kejam itu mendorong penentangan besar-besaran terhadap Marcos.

AQUINO berucap sebagai Presiden Filipina semasa Perhimpunan Agong PBB, 22 September 1986. – AFP

DILANTIK SEBAGAI PRESIDEN UNIDO

Pertubuhan Demokratik Nasionalis Bersatu (UNIDO) adalah perikatan pemilihan parti politik utama parti pembangkang yang dibentuk pada Januari 1980.

UNIDO diasaskan sejak 41 tahun lalu oleh suami Aquino dengan slogan ‘Revolusi Kuasa Rakyat’.

Aquino kemudian dilantik sebagai presiden bagi mengetuai gabungan terdiri daripada lapan parti politik dan organisasi besar di Filipina.

Gabungan itu asalnya dikenali sebagai Pembangkang Demokratik Bersatu dengan matlamat utama menggulingkan Marcos melalui proses politik yang sah.

Ketika pemilihan Presiden Filipina pada Februari 1986, Aquino dilaporkan kalah secara rasmi dalam pemilihan itu.

Beliau dan penyokongnya nekad mencabar keputusan tersebut kerana yakin berlaku penipuan.

Pegawai tinggi tentera kemudian mengisytiharkan Aquino sebagai Presiden Filipina yang sah.

Pada Mac 1986, Aquino mengisytiharkan perlembagaan sementara dan melantik suruhanjaya untuk menulis perlembagaan baharu.

Dokumen yang dihasilkan berjaya mengembalikan Kongres bicameral yang dihapuskan oleh Marcos pada 1973, dan diratifikasi menerusi undi popular, Februari 1987.

Aquino mengadakan pilihan raya Kongres baharu dan berjaya memecah monopoli yang dikuasai oleh sekutu Marcos terhadap ekonomi negara.

Ekonomi Filipina ketika itu mengalami pertumbuhan stabil selama beberapa tahun.

PENGHARGAAN

Selepas meninggalkan pentadbiran negara, Aquino menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan.

Beliau dinamakan sebagai salah seorang daripada 100 Women Who Shaped World History dalam buku tulisan Gail Maeyer Roka dan diterbitkan oleh Bluewood Books di San Francisco, California,

1994.

Dua tahun selepas itu, beliau menerima Hadiah J. William Fulbright untuk Persefahaman Antarabangsa daripada Persatuan Fullbright.

Anugerah itu pernah menobatkan beberapa nama besar seperti Jimmy Carter dan Nelson Mandela.

Majalah Time pada 1999 pula memilih tokoh wanita itu sebagai 20 wanita Asia paling berpengaruh pada abad ke-20.

Majalah sama mengiktirafnya pada 2006 sebagai salah seorang daripada 65 pahlawan Asia yang hebat sebaris nama Aung San Suu Kyi, Deng Xiaoping, Lee Kuan Yew, Mahatma Gandhi dan Raja Bhumibol Adulyadej.

Aquino merupakan rakyat Filipina pertama yang dicalonkan bagi Hadiah Nobel Keamanan selepas mengetuai Revolusi EDSA tanpa menumpahkan sebarang darah pada zaman Marcos.

AQUINO mengadakan pertemuan dengan Presiden AS, Ronald Reagan di White House, 17 September 1986.

KEMATIAN

Pada 24 Mac 2008, keluarga Aquino mengumumkan bekas presiden itu didiagnosis dengan kanser usus.

Beliau menjalani rawatan perubatan dan kemoterapi dan dimaklumkan oleh doktor hanya mempunyai tempoh tiga bulan untuk hidup.

Menjelang Julai 2009, Aquino dilaporkan berada dalam keadaan yang sangat serius dan mula hilang selera makan.

Beliau dibawa ke Pusat Perubatan Makati dan pihak keluarga memutuskan untuk menghentikan kemoterapi.

Aquino meninggal dunia pada pukul 3.18 pagi, 1 Ogos 2009 akibat kegagalan kardiorespiratori ketika berusia 76 tahun.

Aquino mendapat penghormatan apabila anaknya, Senator Benigno Aquino III dipilih menjadi Presiden Republik Filipina baharu pada 30 Jun 2010.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya