Terusan Suez popularkan Marwa Elselehdar - Utusan Malaysia

Terusan Suez popularkan Marwa Elselehdar

MARWA ELSELEHDAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BULAN lalu, seorang kapten kapal wanita pertama di Mesir, Marwa Elselehdar, 29, menyedari sesuatu yang pelik berlaku.

Berita mengenai kapal kontena, Ever Given yang tersekat di Terusan Suez menggemparkan dunia kerana merupakan satu daripada laluan perdagangan paling sibuk di dunia.

Insiden yang menimpa syarikat pengendali kapal, Evergreen menyaksikan sejumlah kapal perdagangan terpaksa menukar laluan di sekitar kawasan perairan Afrika.

Malah, kajian yang dilakukan oleh syarikat insurans, Allianz, mendapati perdagangan global merekodkan kerugian antara AS$6 bilion hingga AS$10 bilion (RM25 bilion hingga RM41.5 bilion) setiap hari susulan insiden yang berlaku.

Selepas melihat telefon bimbitnya, bertebaran berita mendakwa dirinya dipersalahkan atas kejadian yang berlaku pada 23 Mac lalu.

Semasa insiden itu, beliau bertugas mengemudi kapal Aida IV, yang beratus kilometer jarak di Alexandria.

KAPAL kontena, Ever Given yang tersekat di Terusan Suez menggemparkan dunia kerana merupakan satu daripada laluan perdagangan paling sibuk di dunia.

Kapal itu dimiliki oleh Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Mesir yang menghantar misi bekalan ke rumah api di Laut Merah.

Selain itu, kenderaan itu juga berperanan untuk melatih kadet dari Akademi Arab bagi Sains, Teknologi dan Pengangkutan Maritim (AASTMT).

MANGSA BERITA PALSU

Khabar angin mengenai peranan Elselehdar terhadap kapal Ever Given tersebar luas dalam tangkap layar tajuk berita palsu yang disiarkan oleh Arab News.

Beberapa akaun Twitter menggunakan namanya turut menyebar berita palsu yang mengaitkan dirinya dengan insiden kapal itu.

Katanya kepada BBC, dia tidak mengetahui siapakah yang mula menyebarkan berita palsu itu.

“Saya rasa menjadi sasaran kerana mungkin saya adalah wanita yang berjaya dalam bidang ini atau sebab saya adalah rakyat Mesir, tapi saya tidak pasti,” katanya.

Semasa khabar angin itu muncul, beliau risau kejadian itu akan memberi kesan kepada kariernya.

“Berita palsu itu ditulis dalam bahasa Inggeris dan merebak ke negara lain.

“Saya bersungguh menafikan apa yang terdapat dalam artikel itu kerana ia menjejaskan reputasi dan semua usaha yang saya lakukan untuk berada di tempat saya sekarang,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau mendapat dorongan dan kekuatan daripada beberapa komen yang disiarkan oleh berita itu.

“Komen di artikel itu sangat negatif dan teruk, tetapi terdapat banyak komen sokongan daripada orang biasa serta rakan sekerja.

“Akhirnya, saya memberikan fokus kepada semua sokongan dan kasih sayang yang diterima serta kemarahan bertukar menjadi kesyukuran.

“Malah, saya rasa berbaloi kerana menjadi lebih terkenal  daripada sebelum ini,” ujarnya.

CABARAN INDUSTRI

Beliau memaklumkan, ini bukan kali pertama dirinya berdepan cabaran dalam industri perkapalan yang didominasi oleh golongan lelaki.

Menurut Organisasi Maritim Antarabangsa, bilangan pelaut wanita di dunia hanya mencatatkan angka dua peratus.

Jelas Elselehdar, dia sentiasa cintakan laut dan terinspirasi menyertai tentera laut selepas abangnya mendaftar dengan AASTMT.

ELSELEHDAR adalah kapten wanita pertama dan termuda di Mesir apabila mengemudi kapal Aida IV semasa menjadi kapal kontena pertama untuk berlayar ke Terusan Suez baharu pada 2015.

 

 

Semasa tempoh pengajian, dia sering berdepan prejudis dan diskriminasi jantina.

“Semasa berlayar, mereka semua mempunyai jurang usia lebih tua dengan mentaliti berbeza, jadi sukar untuk mencari orang yang berfikiran sama untuk berkomunikasi.

“Ia sangat mencabar untuk melaluinya bersendirian serta mengatasinya tanpa menjejaskan kesihatan mental saya. Malah, masyarakat di negara ini masih tidak dapat menerima kenyataan golongan wanita bekerja di laut yang jauh daripada keluarga dalam tempoh masa lama.

“Justeru, apabila anda lakukan perkara yang dicintai, tidak semestinya perlu mendapatkan persetujuan daripada semua orang,” jelasnya.

KAPTEN WANITA TERMUDA

Selepas tamat pengajian pada 2013, beliau mengemudi kapal Aida IV semasa menjadi kapal kontena pertama untuk berlayar ke Terusan Suez baharu pada 2015.

Pada masa itu, beliau adalah kapten wanita pertama dan termuda di Mesir untuk menyeberang di laluan itu.

Beliau pernah menerima anugerah daripada Presiden Abdel Fattah El-Sisi semasa sambutan Hari Wanita di Mesir.

Bulan depan, Elselehdar akan mengikuti ujian terakhirnya mencapai pangkat kapten penuh dan berharap menjadi contoh teladan kepada golongan wanita dalam industri ini.

“Mesej saya kepada semua wanita yang ingin berada di bidang maritim adalah perjuangkan apa yang disukai dan tidak Emembiarkan perkara negatif mempengaruhi diri,” pesannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya