Bagi yang masih tercari-cari tema dekorasi Syawal, minggu ini Seri bawakan konsep tata rias yang mudah dan mampu milik.
Malah, ia juga sesuai diaplikasikan pada ruangan yang terhad dan pelbagai jenis keluasan kediaman.
Pemilik kediaman jenis pangsapuri berkeluasan 750 kaki persegi, Nor Hafizatul Akma Rusni atau lebih dikenali sebagai Nana dalam komuniti dekorasi di Instagram berkongsikan idea dekorasinya yang tampak mewah dan eksklusif.
Memilih konsep klasik moden minimalis, katanya, ia bersesuaian dengan keluasan ruang memandangkan warna asas bagi konsep berkenaan adalah putih.
“Konsep ini dipilih kerana ia lebih kepada penggunaan warna putih secara keseluruhannya dengan menggabungkan elemen keemasan untuk menambah seri.
“Bagi rumah yang bersaiz 750 kaki persegi, banyak yang perlu diambil kira agar kediaman tidak terlalu sarat dengan warna, perhiasan mahupun perabot,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Nor Hafizatul Akma berkata, penggunaan tona warna cerah itu juga memberikan impak ruang yang lebih terang dan luas.
Ujarnya, dekorasi minimalis mempraktikkan kesederhanaan, namun tetap mengekalkan ciri-ciri estetik.
“Bagaimanapun, antara kekurangan utamanya adalah dari segi warna kerana kotoran mudah melekat dan habuk lebih mudah terlihat,” kongsinya.
Sehubungan itu, Nor Hafizatul Akma menjadikan aktiviti mengemas sebagai rutin harian walaupun bukan di setiap sudut dan ruang bagi mengekalkan kebersihan.
Selain itu, tambahnya, cat yang tepat juga memainkan peranan penting agar kotoran pada dinding dapat dibersihkan dengan mudah.
Tips dekorasi raya
Setiap kali raya pasti semua inginkan pembaharuan, namun, untuk membangkitkan suasana raya tidak semestinya memerlukan barangan baharu sahaja.
Berikut adalah tips dekorasi raya yang menjimatkan kos, namun tetap mampu membangkitkan suasana baharu.
-Kebersihan: Jika semua bersih, barangan lama pun terlihat baru. Jika ada bajet lebih boleh lah berbelanja sedikit untuk hiasan rumah.
-Langsir: Kalau tidak ada yang baharu tidak mengapa, gunakan semula yang lama namun berikan sentuhan berbeza daripada kebiasaan.
-Permaidani: Jangan hanya vakum, sebaliknya bawa untuk cucian dobi. Pasti permaidini lama boleh berubah wajah.
-Perabot: Mahu suasana baharu? Cuba ubah kedudukan perabot atau sofa dari kedudukan asal, barulah suasana baharu di pagi raya.