Ruang dapur bagaikan ‘jantung’ bagi setiap kediaman. Di situlah tempat isteri-isteri berkarya demi mengisi perut anak dan suami.
Oleh itu, keperluan memiliki dapur yang cantik amat penting sebagai motivasi harian kepada isteri.
Namun, dapur bukan hanya perlu cantik, tetapi praktikal supaya kerja memasak dan mengemas dapur menjadi lebih mudah dan cepat.
Pemilihan kabinet dapur selalunya menjadi antara yang memeningkan buat pemilik yang mahukan dapur yang lebih tersusun. Bagaimana rekaannya? Apakah warnanya?
Pengarah Reka Bentuk Ilham Garis Sdn. Bhd. Jazmi Abdul Karim berkata, penting untuk mengetahui mengenai segi tiga dalam dapur supaya susun aturnya lebih sistematik.
Segi tiga berkenaan adalah kedudukan sinki, dapur dan peti sejuk. Apabila menyusun ketiga-tiga barang berkenaan di tiga bucu berkenaan akan membentuk segitiga dalam dapur.
“Bila kita cantumkan, segi tiga inilah yang akan menentukan ruang dalam dapur.
“Jika kita ambil kira segi tiga ini maka dapur akan jadi praktikal, capaian lebih mudah dan proses memasak tidak menjadi terlalu penat,” katanya.
Selain itu, tambah Jazmi, rekaan island di tengah dapur juga banyak membantu mengurangkan pergerakan dan memudahkan capaian, namun bergantung kepada kesesuaian ruang.
Ruang dapur yang sempit tidak digalakkan mempunyai island kerana akan kelihatan sempit selain membataskan pergerakan di dapur.
Dari segi warna dan material pula bergantung kepada bajet dan selera pemilik kediaman.
Ruang dapur kecil sebaiknya memilih warna kabinet cerah atau pastel untuk efek lebih luas.
Bagi ruang dapur yang luas pula tidak mempunyai masalah untuk memilih sebarang pilihan warna digemari.
Bagaimanapun, kebelakangan ini katanya, warna gelap semakin menjadi pilihan ramai akibat tempias daripada trend dari negara barat yang lebih menggemari kod warna sedemikian ketika ini.